AS, China positif usaha Asean hasilkan vaksin Covid-19, kata Hishammuddin

Menteri Luar Hishammuddin Hussein bercakap pada sambutan Hari Asean ke-53 di Wisma Putra hari ini.

PUTRAJAYA: Menteri Luar Hishammuddin Hussein hari ini berkata Setiausaha Amerika Syarikat (AS) Mike Pompeo dan Menteri Luar China Wang Yi “positif” mengenai hasrat Malaysia dan Asean menghasil serta mengedarkan vaksin Covid-19 di rantau ini apabila ia tersedia kelak.

Hishammuddin berkata, dalam perbualan telefonnya dengan Pompeo dan Wang, beliau mengemukakan perlunya pemerolehan vaksin bukan hanya untuk Malaysia malah di rantau ini.

“Saya mendapat petunjuk positif daripada mereka berdua, untuk kita terus maju.”

Katanya, AS dan China antara negara pertama yang melabur dalam pembangunan vaksin Covid-19.

“Kita tidak mahu melihat Malaysia dan Asean ketinggalan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan sambutan Hari Asean ke-53 di Wisma Putra hari ini.

Beliau berkata, Wisma Putra bekerjasama erat dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi yang sudah memulakan perbincangan mengenai perkara itu.

Sementara itu, mengenai perjalanan antara negara beliau berkata ia akan disasarkan mengikut sektor yang berbeza.

“Sebagai contoh, perbincangan kita dengan Singapura berkisar kepada pekerja kita.”

Katanya, kedua-dua kerajaan masih berbincang untuk membenarkan perjalanan bagi 250,000 pekerja yang berulang-alik ke dan dari Singapura setiap hari, dan pembukaan sepenuhnya sempadan di Johor.

Beliau berkata, ia bukan hanya bergantung pada jumlah kes Covid-19 di kedua-dua negara tetapi juga di peringkat global.

Katanya, manakala perjalanan dengan Australia pula tertumpu kepada pelajar Malaysia.

Bagi perjalanan dengan Thailand, Hishammuddin berkata ia berkisar pada import dan eksport makanan dan meneroka pasaran baru berikutan pandemik itu.

Menurutnya, menteri luar negara terbabit sedang membincangkan perkara itu namun belum ada keputusan dibuat mengenainya.