Bekas ahli Parlimen PKR, Santhara Kumar sertai PPBM

Santhara Kumar yang merupakan ahli bukan-Bumiputera tunggal dalam PPBM berkata, beliau mahu membantu masyarakat India dan minoriti lain.

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Segamat Dr Santhara Kumar menjelaskan beliau menyertai PPBM atas prinsip dan kerelaan dirinya sendiri.

Beliau turut menyifatkan faktor PPBM yang lebih terbuka kepada semua kaum, selain berteraskan perlembagaan negara mendorongnya menyertai parti berkenaan.

“Saya terbuka hati tanpa tekanan atau paksaan dari mana-mana pihak, saya menyertai PPBM dan saya telah mendapat restu daripada rakan-rakan perjuangan saya, Mohamed Azmin Ali dan Zuraida Kamarudin,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Santhara turut mengesahkan beliau menyerahkan borang keahliannya kepada setiausaha agung PPBM Hamzah Zainuddin di bangunan Parlimen pada 5.50 petang, semalam.

Mengulas lanjut, Santhara menegaskan bahawa beliau tidak keluar PKR, sebaliknya dipecat susulan prinsipnya ketika itu yang mempertahankan Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri.

Santhara kemudian menyokong Muhyiddin Yassin sebagai calon perdana menteri selepas itu.

Santhara yang juga timbalan menteri Wilayah Persekutuan berkata, penyertaan itu menjadikan beliau ahli Parlimen bukan Bumiputera tunggal menjadi ahli bersekutu PPBM dan berhasrat untuk meneruskan hak dan perjuangan membantu masyarakat India dan minoriti lain.

Selain Santhara, ahli Parlimen yang turut dipecat daripada PKR sebelum ini ialah Mohamed Azmin (Gombak), Zuraida (Ampang), Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota), Kamaruddin Ja’afar (Bandar Tun Razak), Mansor Othman (Nibong Tebal), Rashid Hasnon (Batu Pahat), Ali Biju (Saratok), Willie Mongin (Puncak Borneo) dan Jonathan Yasin (Ranau).