Bekas peguam negara nafi capai penyelesaian dengan Goldman Sachs

Bekas peguam negara Tommy Thomas berkata, beliau tidak bersetuju menerima penyelesaian berjumlah AS$1.75 bilion (RM7.43 bilion) dengan Goldman Sachs.

PETALING JAYA: Bekas peguam negara Tommy Thomas menafikan mencapai apa-apa penyelesaian dengan bank pelaburan Amerika Syarikat, Goldman Sachs, ketika beliau meletak jawatan pada 28 Februari lepas.

Dalam kenyataan hari ini, Tommy juga berkata, beliau tidak bersetuju menerima penyelesaian sebanyak AS$1.75 bilion (RM7.43 bilion) dengan Goldman.

“Kita tidak terima (penyelesaian AS$1.75 bilion). Tiada penyelesaian atas apa-apa juga terma dicapai dengan Goldman Sachs ketika saya meletak jawatan pada 28 Februari,” katanya.

Beliau memberi respons terhadap pendedahan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz di Dewan Rakyat semalam bahawa kerajaan sebelum ini cenderung menerima penyelesaian luar mahkamah dengan Goldman Sachs berhubung hutang 1MDB.

Zafrul juga memberitahu Parlimen mengenai surat bertarikh 11 Februari yang menyaksikan Thomas memberitahu bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad bahawa Goldman Sachs bersetuju menambah tawaran penyelesaiannya kepada AS$1.75 bilion.

Beliau berkata, bekas peguam negara itu mencadangkan penyelesaian luar mahkamah dibuat dengan bank pelaburan berkenaan.

“Ini bercanggah dengan kenyataan beliau bahawa kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak seharusnya menerima penyelesaian luar mahkamah,” katanya.

Tommy bagaimanapun berkata, beliau tidak mahu memanjangkan tuduh-menuduh tidak perlu dengan menteri kewangan berhubung isu itu, sekali gus menambah bahawa Zafrul sepatutnya “menumpukan semua masa dan tenaganya untuk mengurus ekonomi negara” berikutan wabak Covid-19.

Katanya, beliau sangat berhalangan tanpa memiliki salinan semua suratnya kepada Mahathir berhubung isu itu.

Bulan lepas kerajaan Perikatan Nasional (PN) mencapai penyelesaian berjumlah AS$3.9 bilion dengan Goldman Sachs berkait skandal 1MDB.

Penyelesaian itu merangkumi bayaran tunai berjumlah AS$2.5 bilion daripada Goldman Sachs dan jaminan untuk mengembalikan aset berkaitan bon 1MDB bernilai sekurang-kurangnya AS$1.4 bilion.

Pada 3 Ogos, Tommy berkata, beliau tidak melihat motivasi jelas bagi kerajaan persekutuan menyelesaian kes jenayah “yang sangat kuat” dengan menerima pampasan sebanyak AS$2.5 bilion itu.

Dalam surat yang disiarkan di laman web The Edge Market, Tommy menegaskan bahawa berdasarkan duluan, sabitan juga akan menatijahkan jumlah yang sama dibayar kepada Malaysia dalam bentuk penalti.