Budak 6 tahun nyaris maut tercekik nuget ‘inti’ topeng muka

20 nuget yang dibelinya di cawangan di Aldershot di England mempunyai serpihan topeng dalam inti nuget.

Seorang ibu berang apabila menemui serpihan topeng di dalam nuget ayam yang dibelinya di sebuah restoran makanan segera.

Kejadian tersebut menyebabkan anak perempuannya tersedak ketika menikmati makanan.

Laura Arber berkata, dia membuat penemuan itu di dalam sekurang-kurangnya 20 nuget yang dibelinya untuk anak-anaknya di cawangan di Aldershot di England.

Ibu berusia 32 tahun itu membawa 3 daripada 4 anaknya ke sebuah restoran makanan segera untuk mengambil pesanan sebelum pulang ke rumah.

Katanya, semasa di rumah, anak perempuannya berusia 6 tahun tersedak.

“Anak saya mula tersedak dan bila saya masukkan jari dalam mulut untuk mengeluarkan dari kerongkongnya, saya dapati ada sesuatu berwarna biru,” katanya.

“Saya tak fikir ia adalah nuget tapi bila tengok dalam kotak nuget saya dapat lihat banyak serpihan biru dalam nuget ayam lain.

“Ia dimasak bersama topeng. Ia jelas adalah topeng,” katanya,

Laura kemudian menghubungi restoran itu dan menjelaskan perkara yang berlaku.

Seorang jurucakap restoran makanan segera itu berkata: “Kami amat kesal dengan pengalaman pelanggan. Keselamatan makanan adalah keutamaan kami dan kami memberi penekanan bahawa kawalan kualiti mengikut standard yang ketat bagi mengelakkan sebarang isu.

“Berhubung perkara itu, kami memohon maaf, dan menawarkan bayaran balik dan meminta pelanggan untuk mengembalikan makanan itu untuk kami melakukan siasatan lanjut dan mengasingkan produk yang terjejas,” katanya

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]