Covid-19: Pulau Pinang bukan lagi zon hijau

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata, kerajaan negeri mengambil maklum berhubung kes baru itu sebagaimana diumumkan Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) hari ini.

GEORGE TOWN: Selepas 91 hari tidak merekodkan kes positif baru Covid-19 dan berada dalam kategori zon hijau, Pulau Pinang kembali mencatatkan pertambahan apabila 1 kes jangkitan dikesan hari ini.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata, kerajaan negeri mengambil maklum berhubung kes baru itu sebagaimana diumumkan Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) hari ini.

“Dengan (pertambahan) ini, ia menjadikan jumlah keseluruhan kes dicatatkan adalah 122 sekali gus memadamkan status negeri hijau yang dipegang oleh Pulau Pinang sejak 91 hari lalu.

“Kerajaan negeri memohon seluruh rakyat Pulau Pinang kekal bertenang dan tidak menyebarkan sebarang maklumat yang tidak sahih,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut menyeru seluruh rakyat Pulau Pinang terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan termasuk amalan 4P iaitu penjarakan fizikal, pakai pelitup muka, pencucian tangan menggunakan sabun dan perhatikan gejala Covid-19 demi kesihatan serta keselamatan semua pihak.