Guan Eng ikrar bersih nama di mahkamah

Lim Guan Eng bercakap kepada pemberita selepas membayar separuh daripada wang ikat jamin RM1 juta bagi kes rasuahnya hari ini. Di kiri beliau ialah peguam Gobind Singh Deo.

KUALA LUMPUR: Lim Guan Eng hari ini mendakwa beliau tidak mengamalkan rasuah berkaitan projek terowong dasar laut Pulau Pinang dengan berkata, beliau akan berjuang untuk menolak kes pendakwaan.

“Saya tegaskan bahawa tidak ada suapan sedemikian. Ini adalah projek tender terbuka,” katanya kepada pemberita selepas membayar separuh daripada wang ikat jamin RM1 juta untuk kes rasuah beliau hari ini.

“Satu sen pun tidak dibayar untuk projek itu,” tambahnya.

Bekas ketua menteri Pulau Pinang itu juga mendakwa pertuduhan terhadapnya tidak berasas dan “bertujuan politik” untuk mencemarkan imejnya sebagai ahli Parlimen pembangkang.

“Saya menegaskan bahawa kami akan meneruskan perjuangan menentang rasuah. Saya serahkan kepada mahkamah untuk membersihkan nama saya,” katanya.

Lim juga merupakan bekas menteri kewangan dari 2018 hingga Februari tahun ini di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Peguam beliau, Gobind Singh Deo berkata, tuduhan terhadap anak guamnya di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia itu tidak berasas.

“PIhak pendakwaan akan mengemukakan dokumen kepada kami dan kami akan menelitinya,” kata Gobind, yang juga merupakan timbalan pengerusi kebangsaan DAP.

Beliau berkata, Lim akan berdepan berdepan beberapa pertuduhan lain di Pulau Pinang minggu depan dan pihak pembelaan tidak jelas mengenai sifat kesalahan yang didakwa.

Lim berdepan pertuduhan di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM kerana menyalahgunakan kedudukannya sebagai ketua menteri Pulau Pinang bagi mendapatkan upah 10% daripada keuntungan projek jalan dan terowong di negeri itu daripada pengarah kanan Consortium Zenith Construction Sdn Bhd Zarul Ahmad Mohd Zulkifli.