Guan Eng mangsa pendakwaan terpilih, kata ahli Parlimen DAP

Ahli Parlimen Klang selama 3 penggal Charles Santiago berkata, keluarga Lim Guan Eng juga menjadi sasaran dengan penahanan isterinya atas tuduhan penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang haram

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Klang selama 3 penggal Charles Santiago hari ini berkata, bekas menteri kewangan Lim Guan Eng jelas menjadi mangsa pendakwaan terpilih yang bertujuan merosakkan imej DAP dan menghancurkan Pakatan Harapan (PH).

Katanya, “penahanan” Lim di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) malam tadi berniat jahat.

“Keluarga Guan Eng juga menjadi sasaran dengan penahanan isterinya atas tuduhan penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang haram. Ini sesuatu yang amat bahaya,” katanya dalam kenyataan.

Santiago berkata, proses pemberian projek terowong dasar laut Pulau Pinang ketika Lim sebagai ketua menteri dibuat secara telus melalui tender terbuka diketuai setiausaha kerajaan negeri.

“Tidak ada skandal bahkan selepas dia menjadi menteri kewangan. Guan Eng dan anggota exco Pulau Pinang tidak terlibat dalam rundingan untuk memberikan tender kepada Consortium Zenith Construction.

“Dan kerajaan negeri belum membayar 1 sen pun untuk projek terowong bernilai RM6.3 bilion itu,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang P Ramasamy berkata, bagaimana Lim boleh didakwa meminta rasuah daripada projek terowong dasar laut yang ketika itu merupakan sebahagian daripada rancangan pelan induk pengangkutan Pulau Pinang, belum dimulakan.

“Kajian kebolehlaksaannya belum selesai. Paling penting, projek itu diberikan berdasarkan tender terbuka dan sehingga kini, tidak ada 1 sen pun dibelanjakan untuk projek berkenaan.

“Jadi, di mana rasuahnya?” soal beliau.