Kastam India rampas 740 tan ammonium nitrat diimport

Kastam Chennai, India berkata, kargo berbahaya ammonium nitrat yang dirampas kini disimpan di tempat selamat dan pelupusannya akan dilakukan dalam waktu terdekat.

NEW DELHI: Pihak berkuasa di bandar Chennai, India merampas 740 tan metrik amonium nitrat yang diimport atas sebab keselamatan berikutan kejadian letupan di Lubnan.

Kastam Chennai berkata, kargo berbahaya yang disita itu disimpan di tempat yang selamat untuk memastikan keselamatan orang ramai dan pelupusannya akan dilakukan dalam waktu terdekat.

Lembaga Pusat Percukaian Tidak Langsung dan Kastam India pada Khamis mengeluarkan arahan supaya “segera mengenal pasti dan mengesahkan dalam tempoh 48 jam bahawa apa-apa bahan letupan dan berbahaya yang ada di gudang serta pelabuhan di seluruh negara memenuhi semua standard keselamatan, tidak menimbulkan bahaya kepada nyawa dan harta benda.”

Ia berkata, langkah berjaga-jaga diambil memandangkan insiden letupan “di luar negara disebabkan oleh bahan seperti itu”.

Sekurang-kurangnya 157 orang terbunuh dan 5,000 cedera dalam letupan pada Rabu di Pelabuhan Beirut, apabila 2,750 tan metrik amonium nitrat yang disimpan meletup.