Mahkamah benar Muhyiddin batal saman Mahathir berhubung keahlian PPBM

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan 3 lagi berjaya dalam permohonan membatalkan saman difailkan Dr Mahathir Mohamad dan yang lain berhubung pembatalan keahlian mereka dalam PPBM.

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan 3 lagi berjaya dalam permohonan mereka untuk membatalkan saman difailkan Dr Mahathir Mohamad dan yang lain berhubung pembatalan keahlian mereka dalam PPBM.

Dengan membenarkan permohonan Muhyiddin dan 3 lagi defendan, Hakim Mahkamah Tinggi Rohani Ismail memutuskan bahawa Mahathir dan 5 lagi plaintif tidak mempunyai lokus standi untuk mengemukakan tindakan undang-undang terhadap defendan.

Beliau juga memutuskan bahawa mahkamah berpandukan peruntukan undang-undang dan kes di bawah Seksyen 18C Akta Pertubuhan 1966 mahkamah mendapati Seksyen 18C terpakai dalam kes sekarang.

“Sehubungan itu mahkamah tidak memiliki bidang kuasa untuk mendengar atau menentukan tuntutan plaintif,” katanya.

Seksyen 18C menyatakan bahawa sebarang keputusan parti politik adalah muktamad dan tidak boleh dicabar di mahkamah.

Mahkamah memerintahkan plaintif membayar kos RM30,000 kepada semua defendan.

Rohani juga menolak permohonan plaintif untuk mendapatkan perintah injuksi untuk mempertahankan status quo mereka sebagai ahli PPBM sehingga pendengaran saman itu kerana mahkamah telah membatalkan keseluruhan tindakan.

Pada 9 Jun, Mahathir, anaknya Mukhriz, Maszlee Malik, Amiruddin Hamzah, Marzuki Yahya dan parti itu sendiri memfailkan saman berhubung pembatalan keahlian mereka dalam PPBM, yang dinamakan sebagai plaintif pertama hingga ke-6.

Mereka menamakan Muhyiddin yang juga presiden PPBM dan pemangku pengerusi, setiausaha agung Hamzah Zainudin, setiausaha kerja Muhammad Suhaimi Yahya dan Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) Masyati Abang Ibrahim sebagai defendan pertama hingga ke-4.

Menjelaskan mengenai faktor lokus standi, hakim itu berkata pada 4 Jun lalu majlis pimpinan tertinggi (MPT) PPBM, telah mengesahkan keputusan PPBM bahawa plaintif pertama, Mahathir meletakkan jawatan sebagai pengerusi pada 24 Februari dan berdasarkan Fasal 16.9 Perlembagaan PPBM, Muhyiddin yang merupakan defendan pertama, memangku jawatan sebagai pengerusi PPBM.

Beliau mengatakan telah termaktub bagi setiap pertubuhan berdaftar diatur oleh perlembagaan dan berdasarkan peruntukan di bawah Akta Pertubuhan 1966 dan ia juga termaktub bahawa perlembagaan pertubuhan yang berdaftar beroperasi sebagai kontrak antara ahlinya.

“Fasal 10.02 Perlembagaan PPBM memperuntukkan kehilangan keahlian secara automatik oleh peristiwa tertentu yang telah ditentukan iaitu Fasal 10.2 menyatakan bahawa ‘keahlian seseorang ahli terhenti secara serta-merta apabila berlaku mana-mana 1 berikut’ iaitu termasuk Fasal 10.2.6 menyatakan bahawa “seseorang ahli yang membawa apa-apa jua perkara parti atau hak keahliannya ke mahkamah,” katanya.