Mahkamah tolak permohonan Jamal batal saman fitnah Bee Yin

Bekas menteri Yeo Bee Yin menuntut ganti rugi RM5 juta berhubung kenyataan Jamal Md Yunos yang mendakwa beliau menyalahgunakan dana Yayasan Warisan Anak Selangor.

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini menolak permohonan ketua Umno bahagian Sungai Besar Jamal Md Yunos untuk membatalkan saman fitnah difailkan bekas menteri tenaga, sains, teknologi, alam sekitar dan perubahan iklim Yeo Bee Yin terhadapnya berhubung dana Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas).

Peguam Mohammed Nasser Yusof yang mewakili Jamal memberitahu pemberita bahawa hakim Rozana Ali Yusoff yang mendengar kes itu dalam kamar menolak permohonan tersebut atas alasan tiada merit.

“Mahkamah mengarahkan Jamal membayar kos RM2,000 kepada Yeo,” katanya dan memaklumkan mahkamah menetapkan 9 Oktober depan untuk pengurusan kes.

Peguam Sankara Nair yang bertindak bagi pihak Yeo mengesahkan perkara itu.

Berikutan keputusan hari ini, kes saman tersebut akan diteruskan dengan perbicaraan.

Jamal selaku defendan memfailkan permohonan untuk membatalkan saman pada 25 Jun lalu atas alasan saman tersebut terlalu awal kerana siasatan sedang dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pada 14 Jun, 2017, Yeo, selaku plaintif, memfailkan saman menuntut ganti rugi RM5 juta daripada Jamal berhubung kenyataan memfitnah berkaitan dakwaan menyalahgunakan dana Yawas.

Dalam pernyataan tuntutannya, Yeo yang merupakan ahli Parlimen Bakri, mendakwa Jamal mengeluarkan kenyataan memfitnah pada 21 Mac, 2017, dan kenyataan itu diterbitkan oleh beberapa akhbar, portal berita dan akaun Facebook Jamal.

Yeo mendakwa kenyataan Jamal, antara lain, memberi tanggapan yang beliau menyalahgunakan dana awam untuk kegunaan peribadi dan menggambarkan beliau sebagai seorang yang tidak beretika dan tidak boleh dipercayai.

Selain ganti rugi am RM5 juta, Yeo juga menuntut ganti rugi teruk dan teladan serta perintah injunksi untuk menghalang Jamal daripada mengulangi dakwaannya itu.