Malaysia minta bantuan AS isu Rohingya

Menteri Luar Hishammuddin Hussein berkata tidak adil ketika ini apabila beberapa pihak masih meminta Malaysia menerima lebih ramai pelarian dari Rakhine. (Gambar AP)

PUTRAJAYA: Menteri Luar Hishammuddin Hussein berkata beliau meminta Amerika Syarikat (AS) membantu Malaysia dalam perbincangan dengan Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR) berhubung isu pelarian Rohingya.

Katanya, hubungan Malaysia dengan UNHCR penting kerana Malaysia sebelumnya bersetuju membawa masuk pelarian dengan syarat mereka akan dihantar pulang ke negara ke-3.

“Tetapi ini belum dilaksanakan. Tidak adil ketika ini apabila beberapa pihak masih meminta kita menerima lebih ramai pelarian dari Rakhine,” katanya memaklumkan jumlahnya amat tinggi.

“UNHCR juga perlu bertanggungjawab. Jika mereka tidak bekerjasama dengan kita, saya harap AS dapat membantu menyuarakan keprihatinan kita kepada UNHCR, “katanya sambil memaklumkan beliau membangkitkan perkara itu kepada Setiausaha AS Mike Pompeo.

Hishammuddin Hussein

Berhubung isu ketegangan di Laut China Selatan, Hishammuddin berkata negara Asean perlu mengadakan perbincangan dengan negara kuasa besar dunia di rantau ini – AS dan China – sebagai blok.

“Kita tidak boleh berpecah belah, suara kita saja tidak cukup dalam perundingan dengan kuasa besar ini.

“Saya menyuarakan perkara ini kepada Setiausaha Pompeo dan Menteri Luar China Wang Li dan mereka juga setuju untuk kepentingan semua dan melihat wilayah kita stabil dan selamat,” katanya.

Beliau berkata, negara Asean yang terbabit dalam tuntutan Laut China Selatan perlu mengelak daripada terjerumus ke dalam politik antara AS dan China.

Sementara itu, Hishammuddin berkata Malaysia akan berusaha memberikan bantuan kepada Lubnan berikutan letupan di Beirut 2 hari lalu.