Nilai jualan sektor pembuatan naik 4.1% pada Jun 2020, kata Jabatan Perangkaan

Menurut Jabatan Perangkaan, nilai jualan sektor pembuatan Malaysia pada Jun 2020 berjumlah RM116.7 bilion, berkembang sebanyak 30.4% berbanding bulan sebelumnya. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Nilai jualan sektor pembuatan Malaysia pada Jun 2020 melonjak 4.1% tahun ke tahun, selepas mencatatkan kemerosotan 3 bulan berturut-turut, kata Jabatan Perangkaan Malaysia.

Ketua Perangkawan Mohd Uzir Mahidin berkata, berasaskan tahun ke tahun, peningkatan yang direkodkan bagi nilai jualan pada bulan Jun 2020 didorong oleh peningkatan dalam produk makanan, minuman dan tembakau (25.3%), produk kelengkapan pengangkutan dan pembuatan lain (23.1%) dan produk peralatan elektrik dan elektronik (12.7%).

Nilai jualan sektor pembuatan Malaysia pada Jun 2020 berjumlah RM116.7 bilion, berkembang sebanyak 30.4% berbanding bulan sebelumnya.

“Subsektor yang meningkat pada kadar lebih pantas bulan ke bulan adalah produk kelengkapan pengangkutan dan pembuatan lain (87.4%), produk peralatan elektrik dan elektronik (45.7%) dan produk mineral bukan logam, logam asas dan produk logam yang direka (26.3%),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, jumlah pekerja sektor pembuatan pada Jun 2020 adalah seramai 2,188,142 orang, turun 2.2% berbanding 2,238,195 pada Jun 2019.

Laporan itu juga menyatakan jumlah gaji dan upah yang dibayar adalah berjumlah RM7,113.1 juta, merosot sebanyak 2.0% atau RM146.8 juta pada Jun 2020 berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.

“Pada masa yang sama, nilai jualan setiap pekerja meningkat 6.5% kepada RM53,319 berbanding bulan yang sama tahun 2019, sementara purata gaji dan upah setiap pekerja adalah sebanyak RM3,251 pada Jun 2020,” kata beliau.

Pada suku tahun kedua 2020, nilai jualan sektor pembuatan merosot 16.5% kepada RM281.9 bilion berbanding 2.2% yang dicatatkan pada suku tahun sebelumnya.

“Penyusutan ini disebabkan oleh kemerosotan dalam produk mineral bukan logam, logam asas dan produk logam yang direka (-48.8%), produk kelengkapan pengangkutan dan pembuatan lain (-24.3%) dan produk peralatan elektrik dan elektronik (-15.6%).

“Bilangan pekerja dan gaji serta upah masing-masing menyusut 2.2% dan 4.0% pada suku tahun kedua 2020,” katanya.