Rayer ikrar lawan tuduhan terhadap Guan Eng

Peguam Lim Guan Eng, RSN Rayer, meninggalkan ibu pejabat SPRM di Putrajaya malam tadi.

PUTRAJAYA: Peguam Lim Guan Eng, RSN Rayer, berikrar akan melawan tuduhan rasuah terhadap Lim di mahkamah.

Ia susulan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan bekas ketua menteri Pulau Pinang itu berhubung siasatan ke atas projek terowong dasar laut. Beliau akan didakwa hari ini.

“Kami akan lawan pertuduhan itu,” kata Rayer kepada wartawan lewat malam tadi, dan menambah Lim juga akan diwakili ketua biro undang-undang DAP, Ramkarpal Singh dan ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo.

Rayer dilihat meninggalkan SPRM kira-kira pukul 11.15 malam.

Lim, setiausaha agung DAP dan bekas menteri kewangan, akan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM pagi ini.

Pada Isnin, dia akan didakwa mengikut Seksyen 23 akta yang sama di Mahkamah Sesyen Pulau Pinang.

Dalam pada itu, SPRM juga mengatakan Lim akan didakwa dengan kes yang berasingan di Mahkamah Sesyen Pulau Pinang di bawah Seksyen 23 Akta SPRM pada Selasa.

SPRM, bagaimanapun, tidak memberikan perincian mengenai tuduhan tersebut.

Lim ditahan selepas beliau dipanggil ke ibu pejabat SPRM semalam.