Sarawak boleh kekal sistem JKKK, kata timbalan KM

Timbalan Ketua Menteri Sarawak Douglas Uggah Embas bercakap kepada pemberita di Kuching hari ini.

KUCHING: Putrajaya membenarkan Sarawak mengekalkan sistem Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) negeri itu, kata timbalan ketua menteri hari ini.

Douglas Uggah Embas berkata, kerajaan persekutuan juga bersetuju untuk membayar elaun penuh pengerusi JKKK di negeri itu.

Tahun lepas dilaporkan bahawa kerajaan Pakatan Harapan (PH) mewujudkan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Persekutuan (MPKKP) bagi menggantikan JKKK di seluruh negara.

Kerajaan PH juga memutuskan untuk mengurangkan elaun pengerusi MPKK di seluruh negara (JKKK di Sarawak) daripada RM900 kepada RM500.

Kerajaan Sarawak bagaimanapun membuat keputusan untuk mengekalkan elaun bulanan RM900 itu.

Berikutan tumbangnya kerajaan PH dan kemelut politik yang berlaku pada Februari lepas, kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada Julai berkata, MPKKP akan ditambah baik dan dijenamakan semula sebagai JPKK.

Ia berkata, JPKK akan dikuatkuasakan di 10 negeri, termasuk Sarawak.

Sarawak menolak pelaksanaan MPKKP dan JPKK, sebaliknya mengguna pakai sistem JKKK.

“Kami tidak bersetuju dan kerajaan persekutuan sekarang membenarkan Sarawak mengekalkan sistem JKKK. Sistem itu diberikan nama berbeza di Semenanjung,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata, tidak ada sebab kenapa kerajaan negeri perlu menukar nama JKKK.

Katanya, sistem JKKK di negeri itu berjalan baik dengan pelantikan dibuat oleh kerajaan negeri.