Tersentak guru, sedih lihat ‘face mask’ anak murid sangat kotor dan berjahit!

Seorang guru tampil berkongsi kisah pelitup muka muridnya menerusi Twitter.

Seperti yang diketahui umum sejak bermulanya pandemik Covid-19, orang ramai disarankan untuk memakai pelitup muka bagi mengelakkan penularan wabak ini.

Meskipun harga bagi pelitup muka sudah dikurangkan, namun masih ada lagi individu dan keluarga di yang tidak mampu untuk menggantikan pelitup muka yang sudah digunakan setiap hari.

Mungkin bagi mereka yang berduit ia bukan satu masalah besar namun bagi mereka yang duduk di pendalaman atau mereka daripada keluarga yang susah sudah pasti ia menjadi satu beban.

Inilah situasi yang dikongsi seorang guru yang mengajar di Sekolah Kebangsaan Gas, Sandakan, Sabah di Twitter.

Semuanya bermula apabila Fazri Hassan sebagai guru berbincang bersama murid-muridnya mengenai penggunaan pelitup muka ketika berada di kawasan yang sesak.

Sayu hatinya apabila mendapati terdapat muridnya yang menggunakan pelitup muka yang sudah kotor.

Apa yang lebih menyedihkan, pelitup muka tersebut turut mempunyai kesan jahitan dengan benang hitam menunjukkan talinya putus.

Berdasarkan perkongsian, beliau mulai mengetahui terdapat murid-murid yang sekadar mampu untuk menggantikan pelitup muka selepas 2-3 hari penggunaan.

Melihat situasi yang berlaku, beliau memilih untuk menawarkan pelitup muka yang baru secara percuma buat murid-murid yang tidak berkemampuan dalam usaha untuk membantu meringankan beban keluarga murid.

Sebagai seorang guru, Fazri sudah menyediakan topeng baru kerana tahu ada pelajar yang tidak mampu tukar setiap hari.

Perkongsian ini kemudiannya tular, membuatkan beberapa pihak tampil mahu menghulurkan bantuan.

Malah menurut Fazri, mungkin kelas-kelas lain juga berdepan masalah yang sama dan berharap ada mereka yang bermurah hati untuk menghulurkan bantuan termasuk hand sanitizer.

Selepas perkongsian itu terdapat beberapa guru turut berkongsi situasi yang sama berlaku di sekolah mereka di kawasan lain.

Perkongsian daripada lelaki ini nyata mendapat respon positif di kalangan netizen.

Tidak kurang juga para netizen yang berkongsi laman web untuk mendapatkan pelitup muka dengan harga mampu milik dan berbaloi.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]