Warga Iran, Rusia terima teks pesanan minta maklumat cubaan ganggu pilihan raya AS

Pada Rabu, Mike Pompeo memaklumkan bahawa AS menawarkan ganjaran tunai untuk maklumat yang berkait pilihan raya. (Gambar AP)

WASHINGTON: Ketika Mohamad kali pertama mendapat teks pesanan yang menawarkan hingga AS$10 juta untuk mendapatkan maklumat mengenai percubaan mengganggu pilihan raya AS, beliau menganggap ia adalah”seumpama serangan siber”.

Namun ketika pembangun perisian yang berpangkalan di Tehran itu log masuk ke laman Twitter, beliau menyedari bahawa dirinya dia salah seorang warganegara Iran yang menerima pesanan tiba-tiba itu yang mempromosikan usaha Jabatan Negara AS untuk mempertahankan pilihan raya presiden Amerika.

Media Rusia melaporkan rakyatnya juga menerima pesanan serupa pada Khamis.

Jurucakap Kementerian Luar Rusia Maria Zakharova bergurau di Facebook dengan mengatakan laman web Jabatan Negara bakal dibanjiri dengan kecaman.

Bagaimanapun, tidak jelas siapakah disebalik pesanan itu yang mula muncul dalam talian. Penerima turut menghantar tangkap layar dan gambar mesej tersebut ke media sosial.

Individu yang hanya mahu dikenali sebagai Mohamed berkata, beliau adalah antara individu yang menganggap mesej itu tidak jelas.

“AS membayar hingga $10 juta untuk sebarang maklumat mengenai campur tangan asing dalam pilihan raya Amerika,” tulis pesanan teks dalam bahasa Farsi di Iran.

Ia membawa pautan kepada “US Rewards for Justice Program”, yang menawarkan wang tunai sebagai pulangan untuk maklumat mengenai ancaman terhadap keselamatan negara Amerika.

Pada Rabu Setiausaha Negara Mike Pompeo memaklumkan, AS kini menawarkan sehingga AS$10 juta “untuk maklumat yang membawa kepada pengenalan atau lokasi ke atas sesiapa yang bertindak atas arahan atau di bawah kawalan kerajaan asing, mengganggu pilihan raya AS dengan melakukan aktiviti jenayah siber tertentu.”

Komando siber AS merujuk soalan kepada Jabatan Negara AS yang tidak memberi komen segera.

Majlis Keselamatan Rumah Putih tidak segera menjawab soalan mengenai teks tersebut.

Nariman Gharib dari kumpulan keselamatan siber yang berpusat di London, Certfa, berkata, beliau mengetahui perkara itu ketika penerima mesej tersebut di Iran bertanyakan secara peribadi pada awal Khamis.

Katanya, teks tersebut menimbulkan risiko keselamatan bagi mereka yang berada di negara itu.

“Pada saat anda menerima pesanan seperti ini daripada kerajaan – kita menganggapnya ia adalah kerajaan AS – ia akan dilabel oleh Iran,” katanya.

Beliau berkata, AS mempunyai banyak pilihan untuk berkomunikasi dengan rakyat Iran, termasuk iklan dalam talian dan saluran Telegram.

“Komunikasi secara langsung dengan rakyat Iran seperti ini? Melalui pesanan teks biasa? Ia akan menjadi berbahaya.”