Covid-19: 47 pesakit sembuh atasi 7 kes baru hari ini

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada 7 kes baru yang dilaporkan, 6 adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara.

PETALING JAYA: Sebanyak 7 kes baru Covid-19 dilaporkan dalam tempoh 24 jam lalu, manakala 47 pesakit sembuh hari ini.

Jumlah kematian kekal 125 orang kerana tiada kematian dilaporkan hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, 2 pesakit sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dan seorang yang memerlukan bantuan alat pernafasan.

Setakat ini, Malaysia merekodkan 9,070 kes Covid-19 dengan 8,775 daripadanya sudah sembuh.

Ketika ini, 170 pesakit Covid-19 dirawat di seluruh negara.

Hisham berkata, daripada 7 kes baru yang dilaporkan, 6 adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara.

Katanya, ia melibatkan 3 warga Malaysia dan 3 bukan warganegara.

“Enam kes import itu adalah dari China (1 kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur), Yaman (1 kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur), Myanmar (1 kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur), Jepun (1 kes di Selangor), Pakistan (1 kes di Sarawak), dan Mexico (1 kes di Wilayah Persekutuan Labuan),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, hanya 1 kes penularan dalam negara yang melibatkan warga Malaysia, iaitu kes saringan di tempat kerja di Negeri Sembilan.

“Beliau mempunyai sejarah bekerja di Indonesia dan pulang ke Malaysia pada 7 Mei lalu. Beliau tidak bergejala dan sudah dimasukkan ke Hospital Tuanku Jaafar,” katanya.