Anggap diri sebagai barisan hadapan untuk lawan Covid-19, kata PM

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin (kiri) dan Menteri Kanan Keselamatan Ismail Sabri Yaakob pada majlis pelancaran Kempen Pembudayaan Norma Baharu di Pagoh, Johor hari ini. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin mengingatkan semua pihak paya sumenganggap diri masing-masing sebagai barisan hadapan dalam melawan virus Covid-19 selepas negara mencatatkan peningkatan kes berikutan wujudnya kluster baru wabak itu.

Beliau berkata, pematuhan prosedur operasi standard (SOP) sedia ada perlu diperluaskan lagi.

“Kita perlu sentiasa berwaspada untuk mengelakkan daripada wujudnya kluster baru yang menyebabkan peningkatan kes positif Covid-19 di negara kita.

“Justeru kesedaran kawalan kendiri yang tinggi baik di tempat kerja, tempat awam, tempat ibadat, mahupun di rumah perlu ada dalam diri kita pada setiap masa,” katanya dalam satu program di Pagoh, Johor, hari ini.

Semalam sebanyak 25 kes baru Covid-19 dilaporkan dalam tempoh 24 jam dengan 15 pesakit disahkan sembuh.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata setakat ini Malaysia merekodkan 9,063 kes Covid-19 dengan 8,728 daripadanya sembuh dan 210 pesakit dirawat di hospital di seluruh negara.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, beliau tidak menafikan trend peningkatan kes dan pertambahan kluster Covid-19 baru-baru ini berpunca daripada ketidakpatuhan rakyat terhadap SOP.

Beliau mengambil contoh situasi ketidakpatuhan kepada perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah dalam kalangan sekumpulan kecil individu yang sepatutnya dikuarantin di rumah selama 14 hari selepas pulang dari luar negara.

“Tindakan melanggar perintah ini bukan sahaja membahayakan ahli keluarga, saudara-mara, malah ia turut mendedahkan masyarakat setempat kepada jangkitan Covid-19.

“Sehubungan dengan itu, kerajaan membuat keputusan untuk mengenakan kuarantin wajib kepada mana-mana individu yang pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa.

“Mereka ditempatkan di stesen kuarantin yang ditetapkan oleh kerajaan,” katanya.

Muhyiddin berkata pihak berkuasa juga bersedia untuk melaksanakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) di lokaliti setempat sekiranya terdapat peningkatan kes baru secara mendadak di kawasan tertentu.

Beliau berkata kerajaan sentiasa memantau situasi terkini pandemik Covid-19.

“Saya difahamkan terdapat beberapa negara yang sedang berusaha untuk menghasilkan vaksin. Namun besar kemungkinan ia akan mengambil sedikit masa lagi, iaitu pada awal tahun 2021.

“Sehubungan dengan ini, Malaysia sedia membantu dalam usaha menghasilkan vaksin Covid-19 di peringkat antarabangsa melalui pasukan petugas rentas kementerian yang ditubuhkan April lepas.

“Usaha ini adalah bagi meneroka peluang untuk menjalin kerjasama strategik dengan negara lain dalam penyelidikan dan pembangunan vaksin dan ubat-ubatan Covid-19,” katanya.