Dr M sepatutnya kembali kepada PPBM atau Umno, kata Rais

Pengerusi PPBM Negeri Sembilan Rais Yatim berkata tindakan menubuhkan 1 lagi parti politik Melayu disifatkan hanya menimbulkan lebih banyak perpecahan dalam kalangan orang Melayu di negara ini.

KUANTAN: Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad sepatutnya kembali ke pangkuan PPBM atau Umno daripada menubuhkan parti baru, kata pengerusi PPBM Negeri Sembilan, Rais Yatim.

Katanya, parti politik bertunjangkan bangsa Melayu sudah banyak selain asas penubuhan parti baru itu juga dilihat kurang jelas.

“Dari segi realiti untuk menubuhkan parti politik bukan mudah dan ia memakan masa…lagipun buat apa Tun mahu menubuhkan parti Melayu lagi sedangkan beliau pernah mengepalai PPBM. Jadi saya kira paling baik ialah beliau kembali kepada PPBM atau Umno.

“Bagi saya menubuhkan satu lagi parti Melayu sudah tidak ada alasan, sebab kita mahu mencari perpaduan, jika tidak hak kita di bawah Perlembagaan akan lumat. Kita hormat beliau tentang inovatif tetapi dalam hal ini rasanya tidak,” katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata, tindakan menubuhkan 1 lagi parti politik Melayu itu juga disifatkan hanya menimbulkan lebih banyak perpecahan dalam kalangan orang Melayu di negara ini.

Semalam, Dr Mahathir menerusi sidang media khas mengumumkan penubuhan parti baru yang tidak terikat atau menyokong mana-mana gabungan parti sama ada Pakatan Harapan (PH) atau Perikatan Nasional (PN).