Gugurkan tuduhan terhadap menantu saya, kata Kit Siang

Lim Kit Siang percaya menantunya menjadi mangsa kepada musuh politik suaminya.

GEORGE TOWN: Veteran DAP Lim Kit Siang hari ini merayu kepada perdana menteri dan Peguam Negara supaya menggugurkan tuduhan pengubahan wang haram terhadap menantunya, Betty Chew, kerana beliau percaya wanita itu mangsa musuh politik suaminya.

Lim berkata, beliau tidak terkejut dengan penahanan anaknya, Guan Eng, namun Chew tidak perlu diheret sama kerana dia “bukan orang jahat” sebagaimana disangka.

“Saya merayu secara terbuka kepada PM (Perdana Menteri) Muhyiddin Yassin, AG (Peguam Negara) Idrus Harun dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia menggugurkan tuduhan pengubahan wang haram terhadap menantu saya,” katanya kepada pemberita di ibu pejabat DAP Pulau Pinang hari ini.

Lim berkata, Chew adalah seorang isteri yang penyayang dan setia serta membesarkan 4 cucunya.

“Saya mengenali Betty selama 3 dekad. Carilah di rumahnya dan anda tidak akan menemui beribu perhiasan, jam tangan, beg tangan mewah atau jutaan mata wang asing.

“Penganiayaan terhadap musuh politik harus dihindari, harus ada kesopanan dan kehormatan dengan tidak melibatkan ahli keluarga yang tidak bersalah.

“Janganlah kita menghancurkan keluarga Guan Eng semata-mata untuk mencapai sasaran utama. Berhentilah “mengejar” isteri dan anak-anaknya,” katanya.

Mengambil kira tuduhan rasuah terbaru terhadap Guan Eng, Lim berkata anaknya sudah mengalami penganiayaan lebih teruk sebelum ini dan menjadikannya sebagai “ahli politik yang kuat hari ini”.

Katanya, Guan Eng pernah menjadi tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan disumbat ke dalam penjara “kerana bersuara atas nama mangsa rogol”.

Semalam, Guan Eng mengaku tidak bersalah atas tuduhan rasuah berkaitan projek terowong dasar laut Pulau Pinang. Dia didakwa meminta upah 10% daripada keuntungan projek jalan dan terowong di negeri itu yang bernilai RM6.3 bilion.

Chew dan ahli perniagaan Phang Li Koon dijangka didakwa bersama Guan Eng pada Selasa atas kes pengubahan wang haram.