Hospital Sultanah Bahiyah utama kes Covid-19, kurang pembedahan bukan kecemasan

Jabatan Kesihatan Negeri Kedah berkata, pengendalian kes kecemasan di Hospital Sultanah Bahiyah berjalan seperti biasa, manakala janji temu klinik pakar akan dijadualkan semula.

ALOR SETAR: Jabatan Kesihatan Negeri Kedah akan mengurangkan kes pembedahan bukan kecemasan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini bagi memberi keutamaan kepada usaha menangani penularan pandemik Covid-19 di negeri itu.

Pengarah Kesihatan negeri Dr Mohd Fikri Ujang berkata, bagaimanapun pengendalian kes kecemasan berjalan seperti biasa, manakala janji temu klinik pakar akan dijadualkan semula.

Pada masa sama Hospital Kuala Nerang diaktifkan untuk menerima pertambahan kes ibu bersalin yang dijadualkan di HSB.

Bagaimanapun ini hanya untuk kes bersalin secara normal, manakala bagi kes yang ada komplikasi akan dikendalikan oleh HSB, katanya semalam.

Dr Mohd Fikri Ujang.

Mengenai pesakit yang perlu menyambung bekalan ubat, khususnya di kawasan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran, Mohd Fikri berkata, bekalan ubat mereka akan disalurkan ke klinik berhampiran.

Beliau turut menggalakkan pesakit di kawasan lain memanfaatkan kemudahan seperti penghantaran ubat melalui perkhidmatan pos dengan menghubungi Bahagian Farmasi HSB untuk tujuan itu.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) dijangka selesai menjalankan ujian saringan Covid-19 ke atas semua penduduk di kawasan PKPD secara pentadbiran hari ini