Jangan banding kes Guan Eng dengan Najib, kata Anwar

Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata pihaknya berharap siasatan membabitkan Lim akan dijalankan tanpa sebarang motif politik atau penganiayaan.

SHAH ALAM: PKR menggesa semua pihak tidak membandingkan kes pendakwaan membabitksan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dengan bekas perdana menteri Najib Razak.

Presidennya Anwar Ibrahim berkata, semua pihak perlu meneliti fakta dan undang-undang seperti diputuskan hakim sebelum membandingkan kes berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya berharap siasatan membabitkan Lim akan dijalankan tanpa sebarang motif politik atau penganiayaan.

“Berbanding dalam kes Najib, selalu saya katakan kita lihat pada fakta serta undang-undang dan bukannya politik.

“Ada orang samakan kes Guan Eng dengan kes (Najib) yang sudah dihukum berdasarkan fakta, hujah dan undang-undang,” katanya sambil memaklumkan Lim tidak boleh dituduh bersalah selagi tidak dibuktikan oleh mahkamah berbanding kes Najib yang dihukum bersalah atas 7 pertuduhan membabitkan dana SRC International.

Katanya ketika berucap dalam jelajah presiden PKR peringkat Selangor di Shah Alam, malam ini.

Anwar berkata, PKR dan Pakatan Harapan (PH) menolak cara pendakwaan kes itu yang disifatkan tidak telus dan ditafsir sebagai menekan musuh politik.

“Paling sedih dan mengecewakan isteri beliau (Lim) turut ditahan pada hari sama dalam keadaan mencabar dalam sejarah hidup mereka, tunggu paling tidak sehari 2 untuk beliau mengiringi suami,” katanya.

Beliau menegaskan, pihaknya tidak berkompromi berhubung siasatan membabitkan rasuah tanpa mengira dari parti mana individu itu termasuk PKR, DAP, Amanah dan lain-lain.

Namun, Anwar menyuarakan kebimbangaan berhubung pendakwaaan yang dilakukan terhadap Lim.

“Saya tidak mahu prejudis tapi kita berdasarkan apa yang dibentangkan kepada kita hari ini amat merisaukan dan oleh itu parti dan PH turut bangkit sedarkan rakyat dengan tekankan politik menindas dan menekan.

“Tetapi, soal ini yang lebih besar kita lalui penekanan pendakwaan terpilih, sudahlah mari kita aturkan negara ini dengan cara aman dan damai dan hentikan politik penyeksaan,” katanya.

Lim berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 kerana menyalahgunakan kedudukannya sebagai ketua menteri Pulau Pinang untuk meminta upah 10% daripada keuntungan projek jalan dan terowong di negeri itu daripada pengarah kanan Consortium Zenith Construction Sdn Bhd Zarul Ahmad Mohd Zulkifli.

Zenith dianugerahkan kontrak projek pembinaan terowong dasar laut serta 3 jalan yang menghubungkan bahagian pulau dengan tanah besar Pulau Pinang.

Lim yang didakwa melakukan kesalahan itu pada 2011 memohon dibicarakan.

Banglo Lim bernilai sederhana

Dalam pada itu, ketika mengulas isu banglo milik Lim yang menjadi kontroversi Anwar berkata, kediaman itu bernilai sederhana jika dibandingkan kediaman menteri atau pemimpin lain di negara ini.

“Saya bangkitkan (isu Lim) pada malam ini bukan sebab Guan Eng itu sahabat saya.

“Kita ikuti perjalanan, dia tidak pernah pertikai soal siasatan baik rumah atau terowong. Dalam kes rumah saya pernah sebutkan secara terbuka saya lihat rumah semua menteri, semua pemimpin dulu dan sekarang dan rumah Guan Eng itu antara yang sederhana lebih rendah (harga) kategorinya daripada semua rumah lain.

Anwar berkata, PKR dan PH akan meneliti kes membabitkan Lim secara dekat malah rakyat kini juga sudah terdedah kepada maklumat.

“Perkara ini bukan saja libatkan pendakwa, peguam dan hakim tapi ia turut libatkan kefahaman rakyat tentang undang-undang serta fakta,” katanya.