Jangan tetapkan had kadar sewa, Putrajaya diberitahu

CEO Henry Butcher Tang Chee Meng berkata beliau khuatir kemungkinan berlaku perlanggaran hak milik hartanah.

PETALING JAYA: Sebuah syarikat hartanah mengingatkan kerajaan supaya tidak mengganggu pasaran berikutan cadangan pelaksanaan Akta Penyewaan Kediaman (RTA).

Mengulas mengenai pengumuman yang ia sedang dirangka, CEO Henry Butcher Tang Chee Meng berkata beliau khuatir kemungkinan berlaku perlanggaran hak milik hartanah.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin memberitahu Dewan Rakyat yang akta itu bertujuan menghalang pemilik tanah menaikkan sewa dan mengusir penyewa tanpa alasan kukuh dan menangani masalah diskriminasi kaum dalam pasaran hartanah.

CEO Henry Butcher Tang Chee Meng

Tang berkata, tidak boleh ditetapkan had pada kadar sewa.

“Sehingga ada maklumat lanjut, kami tidak boleh mengulas secara terperinci mengenai bagaimana kerajaan akan menggunakan akta itu untuk mengawal harga rumah, tetapi tidak seharusnya menetapkan kadar sewa kerana banyak faktor mempengaruhi harga.

“Kerajaan tidak boleh mengganggu mekanisme pasaran kecuali dalam hal rumah yang berada bawah kategori kos rendah dan mampu milik,” katanya.

Beliau juga tidak bersetuju jika kerajaan bercadang melarang pemilik tanah menetapkan kriteria jenis penyewa yang akan mereka terima.

“Jika undang-undang diletakkan untuk mengawal penyewaan dan menyekat hak pemilik untuk memilih penyewa, ia akan memberi kesan negatif terhadap persepsi pelabur mengenai daya penarik pasaran hartanah di Malaysia,” katanya.

Tang berkata, kawalan terhadap kadar sewa akan mengurangkan insentif pemilik untuk perbelanjaan bagi penyelenggaraan dan menaik taraf hartanah mereka.

“Jika peraturan ditetapkan dalam perkara ini, mereka perlu adil kepada pemilik dan penyewa dan cukup dinamik serta komprehensif untuk menangani pelbagai keadaan,” katanya.

Peguam hartanah Salkukhairi Abd Sukor berkata, dia melihat tiada alasan bagi pemilik tidak bersetuju dengan akta itu kerana ia akan menjelaskan hak mereka sebagai pemilik hartanah.

Jika kerajaan bercadang menetapkan kadar sewa, beliau berkata ia harus dilakukan mengikut kesesuaian lokasi hartanah.