Kerajaan wujud portal khas bantu rakyat hilang kerja di luar negara
Butiran lanjut mengenai portal itu akan diumumkan Menteri Sumber Manusia Isnin ini
TAPAH: Kementerian Sumber Manusia akan mewujudkan sebuah portal khas khusus bagi rakyat Malaysia yang kehilangan pekerjaan di luar negara berikutan pandemik Covid-19.
Menterinya M Saravanan berkata, ia perlu bagi memudahkan pihak kementerian mengetahui jumlah sebenar mereka yang kehilangan pekerjaan, dengan mendaftar di portal itu sebelum dibantu menerusi Pembangunan Sumber Manusia Berhad.
“Butiran lanjut mengenai portal tersebut akan saya umumkan Isnin ini. Saya perlu mengetahui angka sebenar rakyat Malaysia yang kehilangan pekerjaan, supaya kementerian dapat menawarkan pelbagai latihan kemahiran atau peluang pekerjaan bersesuaian dengan mereka.
“Ini antara langkah yang kita lakukan untuk mengatasi masalah pengangguran, kerana kebanyakan mereka yang kehilangan pekerjaan ini, mempunyai komitmen cukup tinggi seperti pinjaman perumahan dan kereta, walaupun ia adalah isu peribadi, tetapi kerajaan amat prihatin dengan nasib yang menimpa mereka,” katanya.
Saravanan berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Go Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) Orang Asli di Dewan Merdeka hari ini.
Rabu lalu Saravanan berkata, kerajaan memberi jaminan membela nasib rakyat yang kehilangan pekerjaan di Singapura, apabila syarikat di negara itu mula melakukan pembuangan pekerja akibat penularan Covid-19.
Beliau telah mengadakan pertemuan dengan Kementerian Tenaga Manusia Singapura, bagi membincangkan jalan penyelesaian terhadap kira-kira 400,000 pekerja Malaysia di negara itu.
Dalam pada itu Saravanan berkata, rakyat di negara ini diminta tidak terlalu memilih pekerjaan dan perlu merebut apa saja peluang pekerjaan, memandangkan ketika ini keadaan dunia yang berdepan dengan kelembapan ekonomi disebabkan Covid-19.
“Saya nasihatkan kepada mereka, terima sahajalah peluang kerja yang ditawarkan walaupun ada antara mereka (golongan profesional), pernah menikmati gaji yang lumayan tetapi disebabkan keadaan (kelembapan ekonomi) pada hari ini luar biasa, lebih baik ada pekerjaan dengan gaji yang lebih rendah, daripada tidak ada kerja langsung.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
“Dengan pelaksanaan pelbagai program dan kursus yang ditawarkan kerajaan, saya memberi jaminan keadaan akan pulih seperti sedia kala, tetapi ia akan mengambil masa sedikit,” katanya.