Langkah tidak wajib pelajar pakai pelitup muka ‘pelik’, kata pakar

Kementerian Pendidikan berkata, belum diputuskan sama ada pemakaian pelitup muka akan diwajibkan di sekolah.

PETALING JAYA: Seorang pakar menyifatkan keputusan kerajaan untuk tidak mewajibkan pelajar memakai pelitup muka di sekolah sebagai “pelik”.

Ketua pegawai eksekutif Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial Azrul Mohd Khalib berkata, kerajaan mewajibkan orang ramai memakai pelitup muka di tempat awam yang sesak bagi menyekat penularan wabak Covid-19.

Justeru katanya, langkah sama perlu dilaksanakan di sekolah.

“Tampak pelik sekiranya keputusan mewajibkan pelajar memakai pelitup muka ditangguhkan,” katanya kepada FMT.

Azrul Mohd Khalib

“Penyakit berjangkit tidak menular secara berlainan di sekolah dan ia (sekolah) juga tidak terkecuali daripada langkah kesihatan awam.”

Menyifatkan bilik darjah sebagai tempat sesak dan tertutup yang menyaksikan interaksi yang tinggi Azrul berkata, adalah “tidak realistik” bahawa amalan penjarakan fizikal dapat dikuatkuasakan sepanjang masa.

Pada Selasa, Menteri Pendidikan Mohd Radzi Jidin berkata, kementerian belum memutuskan sama ada akan mewajibkan pelajar memakai pelitup muka.

Menjawab pertanyaan Teo Nie Ching (PH-Kulai) di Dewan Rakyat, Radzi berkata, berdasarkan garis panduan pembukaan semula sekolah, pemakaian pelitup muka di sekolah hanya “digalakkan”.

Teo bertanya sama ada kementerian akan menyediakan pelitup muka percuma kepada pelajar, terutama mereka daripada keluarga berpendapatan rendah (B40).

Radzi berkata, kementerian sedang membincangkan perkara itu dengan beberapa pihak.

Dalam pada itu, sumber dalam kementerian berkenaan yang tidak mahu mendedahkan status perbincangan tersebut memberitahu FMT bahawa keputusan yang bakal dibuat akan didasarkan pada nasihat Kementerian Kesihatan (KKM).

Sekolah ditutup selama hampir 4 bulan berikutan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) pada 18 Mac, namun dibuka secara berperingkat bermula 24 Jun hingga 22 Julai.

Dalam kenyataan kepada FMT, presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Dr N Ganabaskaran berkata, pemakaian pelitup muka sudah diwajibkan dalam pengakutan awam yang digunakan oleh sebilangan pelajar.

“Kita harus konsisten dan mewajibkannya di semua sekolah. Mana-mana tempat sesak meningkatkan risiko jangkitan,” katanya.

“Pemakaian pelitup muka juga membantu melindungi pelajar yang sedia mempunyai masalah kesihatan yang akan terdedah kepada risiko simptom atau komplikasi lebih buruk jika dijangkiti Covid-19.

“Kita perlu mengambil semua langkah pencegahan bagi mengurangkan risiko tersebut.”