Lebih banyak taman awam, rekreasi akan dimajukan di KL, kata Annuar

Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa merasmikan Majlis Transformasi Taman Tasik Titiwangsa di bawah projek Sungai Nadi Kehidupan, malam tadi.(Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Kementerian Wilayah Persekutuan akan meneruskan usaha menaik taraf taman awam dan mengenal pasti beberapa tapak yang boleh dijadikan sebagai taman rekreasi atau kawasan lapang yang belum dimajukan setakat ini.

Menterinya Annuar Musa berkata, langkah mewujudkan taman yang berkualiti tinggi, berfungsi dan dijaga dengan baik harus dijadikan sebahagian daripada karakter Kuala Lumpur.

“Kuala Lumpur tidak hanya soal bangunan yang tinggi serta besar, tetapi aspek taman dan kawasan lapang harus diletakkan sebagai keutamaan cukup tinggi.

“Kita berbangga kerana Kuala Lumpur mempunyai sejumlah kawasan hijau dan lapang yang bukan sahaja luas, tetapi cukup berkualiti tinggi,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Transformasi Taman Tasik Titiwangsa di bawah projek Sungai Nadi Kehidupan (ROL) di sini, malam tadi.

Beliau berkata, sebanyak 2,068.30 hektar kawasan lapang di Kuala Lumpur diperuntuk sebagai kawasan hijau dan rekreasi bagi tujuan riadah untuk warga kota.

Katanya, daripada jumlah keluasan itu, 966.05 hektar telah diwartakan, manakala 1,033.99 hektar tanah lapang berpotensi dan akan diwartakan seperti yang dalam Pelan Bandar Raya Kuala Lumpur 2020.

1,930 hektar kawasan lapang di Putrajaya telah diwartakan sebagai kawasan hijau dan rekreasi, manakala di Labuan, 29.86 hektar kawasan lapang turut diwartakan sebagai kawasan hijau dan rekreasi, katanya.