Menteri KDN kata ‘menarik’ Dr M tubuh parti baru

Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin bercakap kepada pemberita di Kota Kinabalu, Sabah, selepas merasmikan majlis Rela hari ini.

KOTA KINABALU: Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin berkata tidak ada masalah bagi Dr Mahathir Mohamad mahu menubuhkan parti baru dan menganggap tindakan bekas pengerusi PPBM itu sebagai sesuatu yang “menarik”.

Hamzah yang juga setiausaha agung PPBM berkata, sangat menarik apabila Mahathir berhasrat menubuhkan parti baru sedangkan beliau sebelum itu menyatakan orang Melayu mempunyai terlalu banyak parti.

“Dia (Mahathir) sebelum ini berkata masalah orang Melayu adalah apabila anda ingin jadi presiden tetapi anda tidak boleh menang, maka itu akan membawa kepada pembentukan parti baru. Itu dia kata, bukan saya kata,” katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata, Mahathir menyatakan ‘ini masalah orang Melayu, sudah ada 6 atau 7 parti’.

“Dengan pandangan seperti itu, dia masih ingin menubuhkan parti baru (tetapi) terserah kepadanya. Setiap orang berhak menubuhkan parti baru,” katanya.

Semalam, Mahathir mengumumkan beliau akan menubuhkan parti politik Melayu yang baru, walaupun belum memutuskan namanya.

Terdahulu, beliau berkata mungkin bergabung dengan parti sedia ada atau menubuhkan parti baru.

Katanya, bekas pengasas PPBM perlu menubuhkan parti baru untuk memerangi rasuah kerana parti Melayu yang lain tersasar daripada perjuangan asal.

Ketika ditanya apakah akan ada masalah dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) nanti, Hamzah berkata tidak timbul isu mengenai perkara itu kerana setiap orang berhak menubuhkan parti.

“Kita mempunyai kira-kira 32 juta (penduduk) dan jika dibahagi, mungkin ada 1 juta parti dengan 1 parti memiliki 30 ahli…tidak ada masalah,” katanya bergurau.