Parti baru Dr M buat orang Melayu semakin berpecah, kata Takiyuddin

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Takiyuddin Hassan berkata, mana-mana pihak termasuk bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, tidak mempunyai masalah untuk menubuhkan parti politik asalkan memenuhi syarat ditetapkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan.

KOTA BHARU: Tiada sesiapa boleh menghalang penubuhan parti politik baru oleh mana-mana individu kerana ia adalah hak individu untuk berpersatuan di bawah perlembagaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Takiyuddin Hassan berkata, mana-mana pihak termasuk bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, tidak mempunyai masalah untuk menubuhkan parti politik asalkan memenuhi syarat ditetapkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).

“Di Malaysia, parti politik yang ditubuhkan mencecah puluhan. Ada yang aktif dan ada yang tak aktif. Ada yang ‘beli’ parti yang ditubuhkan (namun tidak aktif) sekali dengan perlembagaan dan kemudian tukar nama.

“Itu hak individu di bawah Perkara 10(1)(c) Perlembagaan Persekutuan untuk berpersatuan,” katanya kepada pemberita hari ini.

Dalam pada itu, Takiyuddin yang juga setiausaha agung PAS, menjangkakan orang Melayu akan terus berpecah jika Mahathir kekal dengan keputusan menubuhkan parti politik berteraskan Melayu dan pribumi.

“Saya tak pasti apa tujuan Tun (Mahathir) untuk menubuhkan 1 lagi parti (berteraskan) orang Melayu. Pengalaman saya bersama Tun beliau seringkali menimbulkan isu perpecahan orang Melayu. Beliau ada pengikut dan Melayu akan semakin berpecah,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Takiyuddin berkata mana-mana pihak yang membuat ulasan berlebihan mengenai sesuatu perkara yang sedang dibicarakan di mahkamah boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Beliau berkata, ini termasuk kes membabitkan bekas Menteri Kewangan Lim Guan Eng yang didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur semalam, atas tuduhan meminta rasuah membabitkan projek terowong dasar laut di Pulau Pinang.

“Ia boleh menjadi penghinaan kepada mahkamah. Malah jika sesuatu kes yang masih berjalan di mahkamah dan disebut di Parlimen, ia akan jadi subjudis.

“Jadi ia merupakan satu ingatan kepada masyarakat umum untuk lebih berhati-hati ketika memberikan sebarang komen,” katanya.

Semalam, Dr Mahathir mengumumkan penubuhan parti baru yang belum diberikan nama rasmi, namun ia tidak terikat atau menyokong Perikatan Nasional (PN) atau Pakatan Harapan (PH).