Perjanjian perdagangan ancam hak pekerja, kata MTUC

Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik diisytiharkan di Santiago, Chile pada 2018. (Gambar AFP)

PETALING JAYA: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) hari ini mendesak kerajaan agar tidak meratifikasi Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) selepas mendakwa tindakan itu mengancam hak pekerja.

Setiausaha agungnya, J Solomon berkata, kesatuan sekerja di negara lain mendapati bahawa perjanjian itu hanya menguntungkan syarikat besar dan tidak mempunyai mekanisme untuk memantau kepatuhan terhadap konvensyen Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).

Katany, CPTPP memberikan kelonggaran kepada negara anggota untuk menghapus undang-undang mengenai hak dan kesejahteraan pekerja dengan alasan untuk mengurangkan halangan tarif dan memperjuangkan perdagangan bebas.

“CPTPP juga mengecilkan jumlah tuntutan yang dapat diambil terhadap penandatangan atas penyalahgunaan hak pekerja,” katanya dalam satu kenyataan.

J Solomon.

Solomon berkata, Menteri Kanan merangkap Menteri Pedagangan Antarabangsa dan Industri Mohamed Azmin Ali juga tidak mempertikaikan penemuan Unit Perancang Ekonomi (EPU) bahawa menyertai CPTPP akan menyaksikan keseimbangan perdagangan Malaysia menurun sebanyak RM9.6 bilion setahun.

“Import Malaysia akan meningkat sebanyak RM10 bilion berbanding peningkatan eksport RM516 juta.

“Azmin tidak memberi keyakinan bahawakeputusan menyertai CPTPP bermanfaat untuk kepentingan pekerja, ekonomi dan masyarakat kita,” katanya.

Solomon berkata, Mekanisme Penyelesaian Pertikaian Pelabur-Negara (ISDS) di bawah CPTPP membolehkan pelabur asing mengheret kerajaan ke mahkamah untuk tindakan yang mungkin mengancam keuntungan mereka.

“Mekanisme serupa digunakan pada masa lalu untuk menentang undang-undang gaji minimum serta peraturan lain yang mempengaruhi pekerja, seperti peraturan kesihatan dan keselamatan,” katanya.

Pada 4 Ogos, Azmin berkata keputusan Malaysia untuk meratifikasi CPTPP tanpa menetapkan tempoh khusus proses berkenaan dibuat ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.

Azmin berkata, jawapan diberikan beliau ketika penggulungan perbahasan Titah DiRaja di Parlimen adalah berdasarkan keputusan Jemaah Menteri pada 5 September 2018, iaitu ketika pentadbiran kerajaan PH.

Dalam pada itu, Solomon menegaskan MTUC tidak berminat dalam perselisihan politik antara pemerintahan sekarang dan bekas pemimpin terdahulu.

Katanya, terdapat banyak sebab kenapa kerajaan tidak boleh meratifikasi CPTPP.

“Perselisihan politik antara kerajaan sebelum ini dan sekarang tidak boleh menafikan fakta dan kebenaran bahawa rakyat Malaysia perlu membayar harga yang jika kerajaan bersetuju untuk meratifikasi CPTPP,” katanya.