Perlis laksana perintah kawalan pergerakan bersasar 2 kampung di Kuala Sanglang

Kerajaan Perlis menerusi kenyataan berkata pelaksanaan Temco dibuat selepas mendapat nasihat Kementerian Kesihatan (KKM) dengan mengambil kira bilangan kes aktif Covid-19 di kawasan berkenaan. (Gambar Bernama)

KANGAR: Kerajaan Perlis melaksanakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan bersasar (Temco) selama 28 hari bermula malam ini di 2 kampung di Kuala Sanglang.

Keputusan itu membabitkan Kampung Kuala Sanglang dan Kampung Tanah Timbul berkuat kuasa 10 malam ini hingga 4 September.

Kerajaan Perlis menerusi 1 kenyataan berkata, pelaksanaan Temco dibuat selepas mendapat nasihat Kementerian Kesihatan (KKM) dengan mengambil kira bilangan kes aktif Covid-19 di kawasan berkenaan.

“Penduduk di kawasan Temco diminta memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, pelaksanaan Temco akan mengguna pakai prosedur operasi standard (SOP) perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) sedia ada dengan tambahan kepada pelaksanaan sekatan jalan raya di setiap laluan keluar masuk ke kawasan berkenaan.

“Orang awam yang berada di luar kawasan Temco tidak dibenarkan masuk kecuali mereka yang terlibat dengan memberikan perkhidmatan perlu,” katanya.

Penduduk di kedua-dua kampung juga diminta mematuhi arahan kuarantin di rumah yang dikeluarkan kepada mereka selepas menjalani ujian saringan Covid-19 di Klinik Kesihatan Sanglang.

“Sepanjang tempoh arahan kuarantin di rumah, ketua isi rumah dibenarkan keluar dari rumah bagi membeli barang keperluan harian sementara menunggu seluruh ahli isi rumah memperoleh arahan pelepasan daripada Jabatan Kesihatan Negeri Perlis,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, kerajaan negeri prihatin kesulitan dialami dan akan menyalurkan bantuan kepada penduduk di kedua-dua kampung terbabit.