PKR mahu peruntukan untuk sistem kesihatan awam ditambah

Presiden PKR Anwar Ibrahim dan bekas timbalan menteri kesihatan Lee Boon Chye berkata, peningkatan sebanyak 20% kepada dana operasi kesihatan awam dan sumber manusia diperlukan.

PETALING JAYA: PKR menggesa kerajaan menambah peruntukan bagi sistem kesihatan awam yang lebih mantap dalam mendepani pandemik Covid-19.

Dalam kenyataan bersama presiden PKR, Anwar Ibrahim dan bekas timbalan menteri kesihatan, Lee Boom Chye berkata, peningkatan sebanyak 20% kepada kos operasi kesihatan awam dan sumber manusia adalah diperlukan.

“Peruntukan terkini untuk kesihatan awam seperti yang disebut dalam Belanjawan 2020 adalah sebanyak RM 5.66 bilion dari peruntukan total operasi KKM iaitu sebanyak RM 27.9 bilion.

“Untuk sumber manusia pula, sebanyak 78,266 orang staf diperuntukkan untuk kesihatan awam dari jumlah keseluruhan 267,578 staf KKM,” katanya.

“Kami menggesa agar peningkatan sebanyak 20% kepada kedua-dua kos operasi dan jumlah staf untuk kesihatan awam untuk tempoh 2 tahun mendatang.

“Ikhtiar kita dalam memperkukuh tahap kesihatan awam akan membolehkan kita untuk menghindarkan negara dan rakyat daripada wabak, juga sebagai langkah awal bila kes (baru) dikesan,” katanya.

Anwar dan Lee berkata, ketika kerajaan sedang bertungkus-lumus merencana strategi atau jalan keluar daripada wabak Covid-19, akan terdapat percubaan untuk mengurangkan peruntukan dalam Belanjawan 2021 dan juga RMK-12 yang kini tertunda.

Katanya, kerajaan perlu melihat dana yang diperuntukkan dalam mengukuhkan tahap kesihatan awam sebagai pelaburan, bukan semata-mata kos.

“Kami berpendapat hanya dengan meningkatkan tahap pelindungan dan kesihatan kepada rakyat, kita akan mampu menangani cabaran dan tantangan kesihatan dan ekonomi yang sedang mengesankan negara,” katanya.