Tiada kes baru kluster Sivagangga hari ini

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sehingga 12 tengah hari tadi seramai 4,198 orang disaring dalam kluster itu.

PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) berkata tiada kes baru dilaporkan dalam kluster PUI Sivagangga hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sehingga 12 tengah hari tadi seramai 4,198 orang disaring dalam kluster itu.

“Bilangan saringan ini merangkumi saringan dari Kedah, Perlis dan Pulau Pinang. Daripada jumlah itu, 43 kes dikesan positif Covid-19, 3,235 negatif dan 920 masih menunggu keputusan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hisham berkata, saringan kontak rapat dan aktiviti pengesanan kes secara aktif diteruskan.

Katanya, langkah pencegahan seperti proses nyah kuman dan nyah cemar dijalankan di kawasan dikenalpasti berkait rapat dengan kluster itu.

“Situasi terkini kluster ini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa kepada orang ramai.

“Masyarakat diminta menyemak terlebih dulu kesahihan maklumat yang diterima sebelum mempercayai dan menyebarkannya,” katanya.

Semalam, KKM berkata jangkitan daripada kluster Sivagangga merebak ke 2 negeri di utara iaitu Perlis dan Pulau Pinang.

Hisham berkata, daripada 12 jangkitan baru semalam membabitkan kluster Sivagangga, 10 kes dicatatkan di Perlis dan 1 di Pulau Pinang.