3 sekolah di Kuala Sanglang tutup 2 minggu

Menteri besar Perlis Azlan Man berkata penutupan selama 2 minggu 3 sekolah terbabit melibatkan 876 murid dan 112 guru. (Bernama pic)

KANGAR: Sebuah lagi sekolah di Kuala Sanglang diarah tutup oleh Jabatan Pendidikan Negeri Perlis susulan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan diperketatkan bersasar (Temco) yang dikuatkuasakan sejak malam tadi, kata menteri besar Azlan Man.

Beliau berkata, penutupan Sekolah Jenis Kebangsaan Chin Hun, sekolah ke-3 diarah tutup di negeri itu, juga selama 2 minggu bermula esok hingga 23 Ogos ini.

“Penutupan selama 2 minggu 3 sekolah terbabit melibatkan 876 murid dan 112 guru,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.

Bernama semalam melaporkan jabatan pendidikan negeri itu mengarahkan 2 sekolah ditutup iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Sanglang dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Sanglang.

Mengulas lanjut, Azlan berkata guru terlibat diwajibkan menjalani perintah pengasingan di rumah (HIO) selama tempoh tersebut.

Beliau berkata, selain itu 15 pelajar tingkatan 6 Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Alwi yang tinggal di 2 kampung terlibat iaitu Kampung Tanah Timbul dan Kampung Kuala Sanglang yang akan menjalani peperiksaan mulai 12 Ogos ini, telah pun disediakan tempat tinggal sementara di asrama sekolah dan tempat tinggal alternatif lain berhampiran.

Kerajaan Perlis melaksanakan Temco selama 28 hari bermula 10 malam tadi di Kampung Kuala Sanglang dan Kampung Tanah Timbul bagi membendung penularan wabak Covid-19.

Sehingga semalam, Perlis mencatatkan 30 kes positif Covid-19 dan semuanya daripada kluster PUI Sivagangga yang bermula di Napoh, Kubang Pasu, Kedah.