4 bahagian PPBM sokong Dr M

Ahli PPBM dari 4 bahagian nyatakan sokongan kepada Mahathir

PETALING JAYA: Empat bahagian PPBM di Selangor mengumumkan pembubaran, sambil menyuarakan sokongan mereka terhadap parti baru yang ditubuhkan bekas pengerusi PPBM Dr Mahathir Mohamad.

Bahagian Petaling Jaya, Klang, Jeram dan Ulu Langat, menyatakan mereka hilang kepercayaan terhadap kepimpinan tertinggi PPBM. Seramai 3,300 ahli dikatakan keluar daripada parti.

Bahagian Bangi dan Kota Raja dijangka mengikutinya esok.

Mohamad Shafiri Abdul Karim dari PPBM Petaling Jaya berkata “kami menolak kerjasama dengan pihak yang terlibat dalam kleptokrasi”, merujuk kepada keanggotaan PPBM dalam Perikatan Nasional, pakatan dengan Umno dan PAS yang membentuk kerajaan Persekutuan.

Semalam, Mahathir mengumumkan akan menubuhkan parti baru.

Awal hari ini, ahli majlis pimpinan tertinggi PPBM, Tariq Ismail dan Adun Jeram, Mohd Shaid Rosli mengumumkan keluar PPBM.