Berita palsu: Pegawai khas Pak Lah buat laporan polis esok

Abdullah Ahmad Badawi , 81, merupakan perdana menteri Malaysia ke-5 dari 2003 hingga 2009. (Gambar Facebook)

KUALA LUMPUR: Pegawai khas Abdullah Ahmad Badawi, Jefridin Atan hari ini berkata, beliau sendiri akan membuat laporan polis terhadap mesej tular palsu yang mengaitkan kematian bekas perdana menteri itu.

Jefridin berkata, beliau memandang serius mesej tular berkenaan dan akan membuat laporan polis pagi esok di Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Putrajaya.

“Perkara ini tidak boleh dibiarkan, mesej tular palsu ini adalah fitnah semata-mata dan menyusahkan rakyat. Sepatutnya rakyat memohon doa agar Pak Lah (Abdullah Ahmad Badawi) panjang umur dan sihat sejahtera di samping keluarga.

“Kematian bukan isu yang boleh dimainkan. Saya akan serahkan kepada polis untuk membuat siasatan lanjut tentang perkara ini,” katanya ringkas.

Sementara itu, bekas setiausaha akhbar Abdullah, Teoh Ai Hua ketika dihubungi berkata, beliau berkesempatan berjumpa dengan Pak Lah di kediamannya baru-baru ini.

“Pak Lah sihat sahaja ketika saya berjumpa tempoh hari. Saya pun tidak faham kenapa rakyat menularkan mesej tidak benar ini. Janganlah berbuat demikian,” kata Teoh yang kini merupakan pensyarah di Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Dasar dan Kerja Sosial, Universiti Utara Malaysia (UUM).

Hari ini, sekali lagi netizen dihidangkan dengan berita palsu menerusi penularan tangkap layar paparan Facebook yang mengaitkan kematian Pak Lah.

Pada 2 Ogos lepas, mesej yang sama turut digembar-gemburkan dan Jefridin yang mewakili pejabat bekas perdana menteri itu menafikan berita tular berhubung keadaan kesihatan beliau dengan berkata Pak Lah berada dalam keadaan sihat.

Abdullah, 81, adalah perdana menteri Malaysia ke-5 dari 2003 hingga 2009.