Covid-19: 13 kes baru, 9 sembuh

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata ketika ini 174 pesakit Covid-19 dirawat di seluruh negara.

PETALING JAYA: Sebanyak 13 kes baru Covid-19 dilaporkan dalam tempoh 24 jam lalu, manakala 9 pesakit sembuh hari ini.

Jumlah kematian kekal 125 orang kerana tiada kematian dilaporkan hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, seorang pesakit sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dan tiada yang memerlukan bantuan alat pernafasan.

Setakat ini, Malaysia merekodkan 9,083 kes Covid-19 dengan 8,784 daripadanya sembuh.

Ketika ini, 174 pesakit Covid-19 dirawat di seluruh negara.

Hisham berkata, daripada 13 kes baru, 9 adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara membabitkan 5 warga Malaysia dan 4 bukan warganegara.

“Sembilan kes import itu dari China (2 kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur), India (2 kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) dan Jepun (2 kes, 1 di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan 1 di Selangor.

“Ireland (1 kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur), Indonesia (1 kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) dan Yaman (1 kes di Sarawak),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Belaiu berkata, 4 kes penularan dalam negara adalah dalam kalangan warga Malaysia.

Katanya, 3 kes dikesan di Pulau Pinang iaitu 2 kes daripada kluster PUI Sivagangga dan 1 kes daripada kluster Kurau.

“Satu kes daripada kluster Meranti, Putrajaya,” katanya.

SUBHEAD Status terkini kluster Sivagangga

Hisham berkata, sehingga 12 tengah hari tadi, seramai 4,636 orang disaring dalam kluster Sivagangga dan daripada jumlah itu, 45 dikesan positif Covid-19.

Katanya, di Kedah seramai 4,078 disaring.

“Daripada jumlah itu, 31 kes dikesan positif Covid-19, 4,020 individu negatif dan 27 individu masih menunggu keputusan.

“Di Perlis seramai 390 disaring. Daripada jumlah itu 11 kes dikesan positif Covid-19 dan 379 individu masih menunggu keputusan.

“Di Pulau Pinang, seramai 168 disaring dan 3 kes dikesan positif Covid-19, 85 individu negatif dan 80 individu masih menunggu keputusan,” katanya.

Menurutnya, saringan kontak rapat dan aktiviti pengesanan kes secara aktif masih diteruskan.

“Langkah pencegahan seperti proses nyah kuman dan nyah cemar turut dijalankan di kawasan dikenalpasti berkait rapat dengan kluster ini.

“Situasi terkini kluster ini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa kepada orang ramai,” katanya.

BERITA LANJUT MENYUSUL