Covid-19: 178 ditahan langgar SOP

Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata secara keseluruhan bekalan barangan keperluan mencukupi dan mampu menampung keperluan dalam negara yang berterusan dan mudah diperoleh. 

PETALING JAYA: Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata, seramai 178 individu ditahan pada hari ke-145 pelaksanaan perintah kawalan pergerakan semalam kerana ingkar arahan.

“Daripada jumlah itu, 8 direman manakala 169 individu lagi dikenakan kompaun dan seorang dijamin,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam perkembangan lain Ismail turut memaklumkan penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) semalam menjalankan pemantauan harian ke atas 12 jenis bekalan barangan di 543 premis perniagaan termasuk peruncit, pemborong dan pengilang.

“Secara keseluruhan bekalan barangan keperluan mencukupi dan mampu menampung keperluan dalam negara yang berterusan dan mudah diperoleh.

“Pegawai penguatkuasa KPDNEHP juga melakukan 1,733 pemeriksaan khas pematuhan prosedur operasi standard (SOP) perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) dan mendapati 1,697 premis mematuhi SOP ditetapkan manakala 35 premis diberi nasihat dan 1 premis diberi amaran kerana tidak patuh SOP.

“Dalam tempoh PKPP ini, kerajaan ingin menggesa pengusaha dan orang ramai supaya sentiasa mengamalkan kawalan kendiri termasuk penjarakan sosial dan kebersihan diri terutama dalam aktiviti jual beli barangan keperluan harian,” katanya