Dr M dijangka umum calon PRK Slim Rabu ini

Bekas pengerusi PPBM Dr Mahathir Mohamad mengumumkan akan menubuhkan parti baru.

PETALING JAYA: Dr Mahathir Mohamad dijangka menamakan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim daripada bekas ahli PPBM pada Rabu ini.

Bekas setiausaha agung PPBM Marzuki Yahya dipetik sebagai berkata, “kami sudah mengenal pasti calon itu. Tun (Mahathir) akan mengumumkannya pada 12 Ogos di Slim” menurut laporan Malaysiakini.

Umno juga dijangka mengumumkan calonnya pada 12 Ogos, 3 hari sebelum penamaan calon. Pengundian akan diadakan pada 29 Ogos.

Mahathir mengumumkan sebuah parti baru akan ditubuhkan dengan beliau sebagai pengerusi dan anaknya Mukhriz sebagai presiden. Penyokongnya mula mengumumkan keluar daripada PPBM, dengan menyatakan hasrat mereka untuk menyertai parti baru itu.

PRK DUN Slim akan diadakan berikutan kematian penyandangnya Mohd Khusairi Abdul Talib, 59, pada 15 Julai lepas yang semasa PRU14 menang dengan majoriti 2,183 undi menewaskan calon PPBM yang bertanding atas tiket PKR, Mohd Amran Ibrahim dan calon PAS, Muhammad Zulfadli Zainal.