Fitnah bubar DUN: Shafie arah tindakan diambil terhadap NGO

Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia Zulkarnain Mahdar membuat laporan SPRM berhubung keputusan membubarkan DUN Sabah.

TAWAU: Ketua Menteri Sabah Mohd Shafie Apdal mahu tindakan undang-undang diambil terhadap sebuah badan bukan kerajaan yang membuat fitnah kononnya Yang Dipertua Negeri Juhar Mahiruddin membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) sebagai imbuhan kepada beliau.

Katanya beliau mengarahkan peguam besar negeri Sabah untuk berbuat demikian memandangkan tuduhan itu bukan sahaja melibatkan beliau, tetapi juga juga mereka yang hadir semasa pertemuan dengan Juhar sebelum pembubaran DUN diumumkan.

“Itu satu fitnah, ketika pertemuan Tun Juhar turut bersama ialah peguam negeri (peguam besar negeri Sabah),” katanya pada sidang media selepas majlis penyerahan lot petempatan mangsa kebakaran Kampung Tanjung Batu Otentik serta pemberian geran tanah bagi daerah Tawau dan Kalabakan, di sini semalam.

Menurut Shafie, hadir sama pada pertemuan itu ialah Timbalan Ketua Menteri Christina Liew dan Jaujan Sambakong, selain Adun Sindumin Dr Yusof Yacob.

Beliau mengulas tindakan Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia diketuai pengerusinya Zulkarnain Mahdar yang membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendakwa tindakan Juhar membubarkan DUN Sabah adalah sebagai balasan kepada Shafie yang melanjutkan tempoh perkhidmatannya sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah.

Shafie berkata pada pertemuan itu, beliau hanya menasihati Juhar untuk menimbangkan pembubaran DUN berdasarkan kedudukan semasa politik negeri.

“Saya cuma menasihatkan, tetapi bukan hak saya untuk membubarkan,” katanya.

Pada 30 Julai, Shafie mengumumkan pembubaran DUN Sabah, sekali gus memberi laluan kepada pilihan raya negeri diadakan.

Sehari sebelum itu, bekas ketua menteri Musa Aman mengumumkan memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri baru.