Jadilah anak jantan, nak serang saya suka hati anda tapi bukan keluarga, kata Guan Eng

Jumaat lalu Lim Guan Eng didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan meminta rasuah membabitkan projek terowong dasar laut di Pulau Pinang.

PETALING JAYA: Setiausaha agung DAP Lim Guan Eng mengingatkan musuh politiknya supaya menjadi anak jantan dalam membuat serangan terhadapnya tanpa membabitkan keluarganya.

“Kepada seteru politik, jadilah anak jantan, nak serang saya, suka hati anda, tapi jangan jadi pengecut dan ganggu keluarga saya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian sambil mempersoalkan pendakwaaan yang akan dilakukan terhadap isterinya, Betty Chew mengikut Akta Pengubahan Wang Haram (AMLA) 2001 di Mahkamah Butterworth Selasa ini.

Bekas ketua menteri Pulau Pinang itu berkata, segala pendapatan diperoleh isterinya hasil daripada bayaran guaman sebagai seorang peguam.

“Ini jauh berbeza dengan keadaan isteri saya, Betty Chew, yang akan didakwa atas pertuduhan pengubahan wang haram pada 11 Ogos 2020, cuma 4 hari selepas kenyataannya diambil dan dia ditahan pada 7 Ogos 2020. Betty sendiri tidak faham mengapa dia didakwa sedangkan pendapatannya datang dari bayaran guaman kepadanya sebagai seorang peguam.

“Sebelum ini, saya berasa tidak terdaya kerana gagal untuk melindungi anak saya. Kini saya tidak dapat buat apa-apa untuk melindungi isteri saya daripada tuduhan tidak berasas,” katanya.

Jumaat lalu, Lim didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan meminta rasuah membabitkan projek terowong dasar laut di Pulau Pinang.

Beliau mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan di depan Hakim Azura Alwi.

Lim dituduh melakukan kesalahan itu berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City, pada Mac 2011 dan didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009, yang boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda 5 kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana lebih tinggi.

Lim juga dijadual dituduh di Mahkamah Butterworth esok bagi kes lain.

Beliau menjawat jawatan ketua menteri Pulau Pinang dari 2008 hingga 2018.