Kerja pemulihan landasan 3 di KLIA siap

Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) berkata kerja pemulihan itu untuk memastikan keselamatan berterusan bagi operasi penerbangan

KUALA LUMPUR: Kerja pemulihan landasan ke-3 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk memastikan keselamatan berterusan bagi operasi penerbangan selesai, menurut Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).

Pengendali lapangan terbang itu berkata, kerja penyelenggaraan menyeluruh dijalankan mengikut Pelan Induk Kemampanan Landasan KLIA.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kumpulan Mohd Shukrie Mohd Salleh berkata, walaupun langkah kawalan kos dilaksanakan secara agresif susulan kesan Covid-19 terhadap industri penerbangan namun pihaknya meneruskan pelaburan misi penting seperti penggantian aset lama serta kerja pemulihan landasan.

“Penyiapan kerja pemulihan di Landasan 3 itu adalah tepat pada masanya seiring dengan kita mulai menyaksikan keyakinan semakin bertambah terhadap keselamatan perjalanan udara dan jumlah trafik meningkat 3 kali ganda dibandingkan pada bulan sebelumnya.

“Kami juga akan memulakan fasa ke-2 Pelan Induk Kemampanan Landasan iaitu dengan kerja di Landasan 1 akan bermula dari November 2020,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kerja pemulihan merangkumi terutama kerja penurapan dan menambah baik panyaliran bagi permukaan landasan.

MAHB berkata, untuk memastikan kelancaran operasi penerbangan sepanjang masa, pihaknya mengadakan sesi libat urus berkala dengan pihak berkepentingan seperti Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), syarikat penerbangan dan syarikat pengendalian darat yang beroperasi di KLIA.

“Sebaik saja selesai kerja penyelenggaraan, CAAM telah melakukan kerja penentukuran dan pemeriksaan untuk menilai kesediaan infrastruktur serta memastikan landasan tersebut memenuhi semua garis panduan keselamatan dan peraturan antarabangsa untuk operasi penerbangan,” katanya.