Ketua PPBM Bangi keluar parti, bubar bahagian

Ketua PPBM Bangi Mohd Sufian Mat Yunus berkata lebih 300 ahli aktif parti itu akan mengikut jejak keluar parti dan menyokong parti yang akan ditubuhkan Dr Mahathir Mohamad.

BANGI: Ketua PPBM Bangi Mohd Sufian Mat Yunus mengumumkan keluar parti dan membubarkan bahagian itu hari ini.

“Saya selaku ketua bahagian parlimen Bangi dengan ini secara rasminya selepas mendapat keputusan seluruh ahli jawatankuasa (AJK) meletakkan jawatan bersama dengan saya. Hari ini saya menzahirkan pembubaran parti PPBM di Bangi,” katanya dalam sidang media yang turut dihadiri lebih 50 ahli yang keluar parti bersamanya.

Sufian berkata, lebih 300 ahli aktif parti itu akan mengikut jejak mereka keluar parti dan menyokong parti yang akan ditubuhkan Dr Mahathir Mohamad.

“Bahagian PPBM Bangi ada 1,200 ahli dan dianggotai 11 cawangan yang layak bersidang, yang aktif 500 orang sahaja.

“Jangkaan yang keluar parti adalah 300 ahli sebab itu yang aktif dan mungkin ada gelombang ke-2 daripada mereka yang tidak hadir hari ini dan akan menyertai parti akan ditubuhkan Mahathir tidak lama lagi.

“Dalam 11 cawangan itu yang bubar adalah Bangi, Seksyen 4, Balakong Jaya, Cheras Perdana dan Kajang utama,” katanya.

Bagaimanapun, timbalan ketua bahagian, ketua pemuda, ketua srikandi dan 2 AJK bahagian kekal dalam parti dan tidak meletak jawatan dengan masih menyokong presiden Muhyiddin Yassin

Sufian turut mendedahkan beliau menerima panggilan telefon daripada seorang menteri Perikatan Nasional (PN) semalam supaya kekal dalam parti.

“Ada seorang menteri yang hubungi saya semalam tapi saya kata sudah buat keputusan. Pada saya prinsip tidak boleh digadai demi maruah.

“Ini akan dikenang selama-lamanya di mana seorang yang pengkhianat, jadi saya tidak sanggup dilihat sebagai seorang yang tidak ada prinsip dalam memegang jawatan. Ia adalah amanah yang diberikan oleh ahli,” katanya enggan mendedahkan nama menteri berkenaan.