Kurau, meranti kluster baru Covid-19

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata pengesanan kes secara aktif dan saringan kontak rapat masih diteruskan.

PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan 2 kluster baru iaitu Kurau di Perak dan Meranti di Putrajaya.

Dalam kenyataan hari ini, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, terdapat 2 kes positif dikesan daripada kluster Kurau.

“Kes pertama kluster ini (iaitu kes ke-9,050) merupakan kes positif Covid-19 yang telah dilaporkan pada 7 Ogos lalu.

“Kes ke-2 kluster ini (iaitu kes ke-9,082) merupakan abang ipar kepada kes ke-9,050 yang mana beliau telah dikesan hasil aktiviti pengesanan kes secara aktif dan saringan kontak rapat.

“Susulan itu, beliau sekeluarga yang berada di Pulau Pinang turut disaring,” katanya.

Beliau berkata, pada 9 ogos lalu saringan dibuat dan individu itu dikesan positif Covid-19.

Katanya, manakala ahli keluarga individu itu disaring dan setakat ini 5 orang pula dikesan negatif.

“Setakat ini sejumlah 115 individu kontak rapat telah disaring. Daripada jumlah ini, 106 negatif dan 9 masih menunggu keputusan.

“Pengesanan kes secara aktif dan saringan kontak rapat masih diteruskan,” katanya.

Hisham berkata, bagi kluster Meranti pula ia mula dikesan apabila kes ke-9,083, iaitu seorang petugas kesihatan dikesan positif Covid-19 pada 8 Ogos lalu.

Katanya, individu itu mempunyai kontak kepada kes ke-8,968, iaitu kes Covid-19 yang dikesan hasil saringan pra pembedahan yang dilaporkan pada 31 Julai lalu.

“Selepas disiasat, kes ke-8,968 didapati pernah mempunyai sejarah mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan di mana kes ke-9,083 telah bertugas.

“Saringan kontak rapat dan aktiviti pengesanan kes secara aktif sedang dijalankan yang mana setakat ini 15 individu disaring.

“Punca jangkitan kluster ini masih dalam siasatan,” katanya.