KPKT ambil tindakan tegas terhadap kontraktor gagal siapkan projek

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin berkata unit pemantau baharu di bawah seliaan timbalan ketua setiausaha KPKT akan diwujudkan bagi memantau secara lebih dekat dan telus semua projek bawah kementerian itu, khususnya projek perumahan.

TUARAN: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan mengambil tindakan tegas termasuk membatalkan kontrak kepada kontraktor yang gagal menyiapkan projek bawah kementerian berkenaan, mengikut tempoh ditetapkan.

Sehubungan itu Menterinya Zuraida Kamaruddin berkata, 1 unit pemantau baharu di bawah seliaan timbalan ketua setiausaha KPKT akan diwujudkan bagi memantau secara lebih dekat dan telus semua projek bawah kementerian itu, khususnya projek perumahan.

“Mengikut laporan audit banyak projek bawah kementerian tidak dapat disiapkan dalam tempoh masa ditetapkan dan selain itu pengisian terhadap rumah yang telah siap juga tidak mengikut tempoh masa ditetapkan.

Apa yang saya terkejut ada projek perumahan tidak mengikut tempoh masa sampai 15 tahun lewat dan itu melampau, selain itu pengisian rumah yang telah siap juga sampai 3 tahun. Oleh itu kita kena pantau dan tegas terhadap kontraktor yang tidak mengikut masa dan kalau perlu dihentikan, kita akan hentikan kontrak berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat perjalanan pembinaan projek perumahan rakyat (PPR) Gayang II hari ini.

Zuraida menasihatkan semua kontraktor yang melaksanakan projek di bawah KPKT sentiasa memastikan perjalanan projek mengikut jadual ditetapkan.

“Kita tahu banyak masalah yang dihadapi, mungkin ada kesilapan yang lampau, namun ia bukan menjadi alasan… kita perlu lihat ke depan untuk pastikan projek berjalan lancar dan disiapkan,” katanya.

Beliau juga meminta agar pengisian rumah PPR dapat dilaksanakan mengikut tempoh ditetapkan iaitu sebaik sahaja rumah berkenaan siap.

“Kita mahu nama pemohon dapat diperoleh 1 tahun sebelum projek siap dan ia dapat ditapis dan nama pemohan yang layak dapat diperoleh sebelum projek siap dan apabila siap mereka boleh terus tinggal di rumah berkenaan,” katanya.

Sementara itu, beliau meminta jasa baik semua kontraktor untuk memasang kamera litar tertutup (CCTV) di semua projek PPR yang mereka kendalikan.

“Dengan adanya CCTV banyak perkara yang kita boleh elakkan termasuk masalah sampah, vandalisme, jenayah dan penderaan. Semua masalah berkenaan kita dapat pantau sekiranya ada CCTV,” katanya.