Lihatlah di luar politik berasaskan kaum, kata Anwar

Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata Dr Mahathir Mohamad mempunyai hak untuk menubuhkan parti baru.

PETALING JAYA: Presiden PKR Anwar Ibrahim menyeru rakyat melihat melangkaui politik berasaskan kaum susulan pengumuman Dr Mahathir Mohamad yang beliau akan menubuhkan parti politik Melayu baru.

Mahathir yang keahlian PPBM diterajuinya sebelum ini terbatal pada Jumaat mengumumkan akan menubuhkan parti politik Melayu baru yang bebas memerangi rasuah dengan mendakwa pihak seperti Umno, PAS dan PPBM lari daripada perjuangan asal.

Anwar berkata, pandangan perlunya parti Melayu untuk berjaya dalam politik adalah lapuk.

“Saya harap generasi muda dapat melihat melangkaui isu kaum dan (fokus pada) prinsip dan dasar, bukan sekadar warna kulit anda,” katanya.

Beliau ditanya sama ada parti bukan berasaskan kaum boleh berjaya di Malaysia selepas menyampaikan ucaptama pada sidang kemuncak pemimpin pelajar Malaysia hari ini.

Menyatakan Mahathir mempunyai hak untuk menubuhkan parti baru, Anwar berkata dia berharap masyarakat akan “lebih matang” selepas lebih 6 dekad mencapai kemerdekaan.

“Impian saya, seperti dinyatakan sebelum ini, untuk memastikan orang Melayu berasa selamat dan diberi peluang, dihormati dan hak yang mereka layak,” katanya.

“Tetapi setiap warga perlu merasakan ini juga negara mereka dan diberikan hak sepatutnya,” katanya.