Penutupan masjid, surau bergantung nasihat MKN, KKM, kata menteri agama

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata prosedur operasi standard (SOP) berkaitan solat jemaah amat tegas dan jelas sekiranya berlaku wabak. 

BUTTERWORTH: Penutupan masjid dan surau dalam kawasan perintah kawalan pergerakan diperketatkan bersasar (Temco) bergantung pada nasihat Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM), kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Beliau berkata, prosedur operasi standard (SOP) berkaitan solat jemaah amat tegas dan jelas sekiranya berlaku wabak dan atas nasihat MKN dan KKM, penutupan surau dan masjid akan dibuat berdasarkan pada maslahah semasa dan setempat.

“Ini dilakukan untuk menghalang dan menyekat daripada tersebarnya wabak tersebut …berdasarkan SOP yang telah kita tetapkan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Guru Takmir Masjid dan Surau Peringkat Zon Utara Tahun 2020 hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada terdapat keperluan untuk menutup semua surau dan masjid dalam kawasan Temco susulan penularan jangkitan Covid-19 daripada kluster Sivagangga.

Semalam, Menteri Kesihatan Dr Adham Baba mengesahkan hanya 3 negeri iaitu Kedah, Perlis dan Pulau Pinang, merekodkan individu positif Covid-19 daripada kluster Sivagangga.

Dalam pada itu, Zulkifli berkata guru takmir perlu memainkan peranan dalam memberi kefahaman berhubung hal ehwal agama Islam kepada masyarakat dengan mengimarahkan masjid dan surau.

“Guru takmir antara komponen utama. Saya tak nak masjid kosong, kaku dan tiada pengisian. Justeru, saya menyeru penduduk kampung, desa dan taman mahupun bandar, bila datangnya guru takmir (beri ceramah) hadirlah untuk mendapatkan ilmu,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Zulkifli berkata pihaknya menyusun beberapa program khusus untuk golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) dalam usaha memberi kefahaman dan kesedaran kepada golongan itu terutama hal ehwal agama Islam.

“Saya sendiri akan mengadakan perbincangan dengan mereka dan pada masa sama JAKIM (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia), JAWI (Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan) dan saya juga akan berkolaborasi dengan negeri-negeri untuk sama-sama kita menzahirkan kepada mereka (LGBT) kesedaran terutama hal ehwal agama kita,” katanya.