Persekutuan majikan sokong gesaan tolak ratifikasi perjanjian perdagangan

Persekutuan Majikan Malaysia berkata, Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans Pasifik tidak memberi manfaat kepada syarikat tempatan. (Gambar AFP)

PETALING JAYA: Persekutuan majikan menyokong kenyataan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menolak keputusan Putrajaya meratifikasi Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans Pasifik (CPTPP).

Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) berkata, ia tidak dirundingi berhubung CPTPP walaupun mereka merupakan pemegang taruh utama dengan menambah bahawa perjanjian perdagangan itu berlawanan dengan kepentingan negara.

Pengarah eksekutif MEF Shamsuddin Bardan berkata, CPTPP mengancam kedaulatan Malaysia menerusi pemaksaan model ekonomi dan standard buruh asing.

Beliau berkata, firma Malaysia bukanlah penerima manfaat utama langkah meratifikasi perjanjian, sebaliknya ia memberi kelebihan kepada syarikat antarabangsa besar yang mempunyai akses kepada perolehan kerajaan dan pasaran tempatan.

“Syarikat antarabangsa ini juga akan diberikan hak untuk mengheret kerajaan ke mahkamah khas sekiranya mereka menganggap kerajaan tidak mematuhi terma CPTPP.

“Mereka boleh menuntut pampaan daripada kerajaan, yang mungkin berjumlah beratus juta ringgit.

“Selain itu wujud kebimbangan berkait hak harta intelek serta status syarikat berkaitan kerajaan (GLC),” katanya kepada FMT.

Shamsuddin Bardan

Shamsuddin berkata, terdapat perjanjian perdagangan 2 hala sedia ada dengan negara lain yang turut terlibat dalam rundingan CPTPP, dengan terma yang lebih memberi manfaat kepada perdagangan bebas dan pelaburan di Malaysia.

“MEF percaya Malaysia tidak harus meratifikasi CPTPP. Walaupun Malaysia telah menandatangani CPTPP, namun ia bebas untuk tidak meratifikasi perjanjian itu,” katanya.

Beliau berkata, MEF juga tidak dirundingi semasa perundingan Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPP) sebelum ini dan berhubung komitmen Putrajaya terhadap Pelan Konsisten Buruh dengan Amerika Syarikat pada 2015.

“Rundingan ini sebaliknya diselubungi kerahsiaan tanpa ketelusan atau pemakluman awam mengenai analisis kos-faedah TPPA dan CPTPP,” katanya.

MTUC sebelum ini menggesa Putrajaya supaya tidak meratifikasi perjanjian itu yang menurutnya mengancam hak pekerja dan mendedahkan pekerjaan kepada risiko.

Setiausaha agung MTUC J Solomon berkata, CPTPP memberi ruang kepada negara anggota untuk membatalkan undang-undang mengenai hak dan kebajikan pekerja atas nama mengurangkan halangan tarif dan menjuarai perdagangan bebas.

“Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mohamed Azmin Ali tidak memberi keyakinan bahawa keputusan menyertai CPTPP bermanfaat untuk kepentingan pekerja, ekonomi dan masyarakat kita,” katanya.

Azmin dan bekas menteri kewangan Lim Guan Eng bertikam lidah di Dewan Rakyat baru-baru ini berhubung perjanjian tersebut selepas Azmin mendakwa kerajaan Pakatan Harapan (PH) bersetuju untuk meratifikasinya.

Lim membantah dengan berkata, Kabinet PH tidak bersetuju untuk meratifikasi CPTPP kerana “kita tidak mahu orang asing campur tangan” dalam dasar perdagangan Malaysia.

Ini mencetuskan pertengkaran hangat antara mereka berdua.