PKS perlu untuk pulih ekonomi negara, kata Azmin

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mohamed Azmin Ali pada sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan usahawan Bumiputera Sabah di Kota Kinabalu, hari ini.

KOTA KINABALU: Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Mohamed Azmin Ali berkata, kementerian itu bukan sahaja melihat kepada perkembangan syarikat bersaiz besar,, tetapi juga mempromosi pembangunan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), termasuk yang melibatkan Bumiputera.

Katanya, industri PKS seperti sektor makanan, minuman, penternakan, perkhidmatan dan automotif juga diperlukan untuk sama-sama memulihkan ekonomi yang lembab berikutan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) serta kesan pandemik Covid-19.

“Hampir kesemua PKS dan PKS mikro terkesan sepanjang tempoh PKP dan juga pasca pandemik Covid-19 walaupun kerajaan memperkenalkan dan melaksanakan beberapa pakej rangsangan ekonomi Prihatin dan Penjana yang bertujuan meringankan bebanan aliran tunai industri terbabit.

“Kami ingin mendengar secara langsung daripada mereka (PKS) mengenai cabaran yang dihadapi, sekali gus mencari jalan penyelesaian segera supaya mereka dapat bersama-sama mencergaskan sekonomi Sabah dan menyumbang kepada KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri majlis pertemuan bersama usahawan Bumiputera Sabah, di sini, hari ini.

Dalam pada itu Azmin berkata kadar pengangguran negara menurun sebanyak 0.4% kepada 773,200 orang pada Jun, berbanding 5.3% atau 860,000 orang pada Mei.

”Ia susulan langkah kerajaan menggerakkan semula ekonomi negara sehingga menunjukkan hasil positif,” katanya.

”Sehubungan itu saya berharap IKS (industri kecil dan sederhana), PKS, termasuklah PKS mikro dapat segera memulihkan ekonomi. Kita akan bantu mereka dengan memberi beberapa inisiatif,” katanya.

Terdahulu dalam satu kenyataan, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) berkata, pertemuan pagi ini adalah untuk memberi penerangan mengenai kepentingan PKS Sabah menerapkan pelan perniagaan yang berteraskan Industri 4.0.

Selain itu, ia juga membuat makluman tentang fasilitasi yang disediakan kementerian seperti Program Penilaian Kesediaan Industri 4WRD (RA) dan Intervensi Perniagaan Industri 4WRD.

”Sesi libat urus bersama industri Sabah ini juga memberi pendedahan kepada PKS tentang prospek eksport dalam memampankan prestasi perniagaan mereka.

”PKS yang hadir turut diberi taklimat tentang program fasilitasi eksport oleh agensi di bawah Miti, iaitu Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade),” kata kenyataan itu.