Polis Perlis tutup 3 laluan utama ke Kuala Sanglang sejak malam tadi

Polis Perlis mengadakan sekatan jalan raya di 4 laluan masuk ke Kuala Sanglang bagi membendung penularan wabak Covid-19. (Gambar Bernama)

SANGLANG: Tiga laluan utama ke Kuala Sanglang mula ditutup 10 malam tadi selepas kerajaan negeri Perlis mengumumkan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan diperketatkan bersasar (Temco).

Ketua Polis Perlis Surina Saad.

Ketua Polis Perlis Surina Saad berkata, polis mengadakan sekatan jalan raya (SJR) di 4 laluan masuk ke Kuala Sanglang bagi membendung penularan wabak Covid-19.

“Empat SJR itu adalah di Simpang Tiga, Jalan Padang Keria, hadapan Pos Kawalan Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuala Sanglang dan hadapan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chin Hun,” katanya hari ini.

Beliau berkata, 20 orang anggota dan pegawai diletakkan pada setiap SJR.

“Orang ramai yang berada dalam kawasan Temco (Kampung Kuala Sanglang dan Kampung Tanah Timbul) diminta mematuhi arahan pihak berkuasa bagi mengelak penularan wabak,” katanya.

Semalam, kerajaan Perlis melaksanakan Temco selama 28 hari bermula 10 malam tadi di 2 buah kampung, iaitu Kampung Kuala Sanglang dan Kampung Tanah Timbul.

Perlis sehingga semalam mencatat 30 kes dengan 11 kes baru daripada kluster pesakit bawah siasatan (PUI) Sivagangga.