PPBM Johor nafi ahli memberontak mahu ikut Dr M

Pengerusi PPBM Johor Mazlan Bujang berkata Johor sangat terkawal dan tidak ada masalah malah akan terus menyokong kepimpinan presiden dan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin. (Gambar Bernama)

ISKANDAR PUTERI: PPBM Johor menolak dakwaan konon terdapat pemberontakan dalam kalangan ahlinya yang mahu menyertai parti baru ditubuhkan Dr Mahathir Mohamad.

Pengerusinya Mazlan Bujang berkata, semua 26 ketua bahagian termasuk ahlinya tetap kekal bersama presiden Muhyiddin Yassin sehingga kini.

Malah, menurutnya, PPBM Johor tidak mempunyai sebarang masalah dalaman.

“Johor sangat terkawal dan kita tidak ada masalah… malah kita akan terus menyokong kepimpinan presiden dan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin,” katanya pada sidang media hari ini.

Mazlan berkata demikian ketika ditanya berhubung dakwaan laporan berita sebuah portal semalam bahawa ahlinya memberontak mahu menyertai parti Mahathir.

Sementara itu, Mazlan berkata, PPBM Johor berpendirian Mahathir mempunyai hak untuk menubuhkan partinya sendiri demi demokrasi selain tiada undang-undang yang menghalang seseorang individu berbuat demikian.

Katanya, Mahathir juga diyakini mempunyai pengikutnya sendiri memandangkan beliau merupakan seorang negarawan yang menerajui pentadbiran negara selama 22 tahun sebagai perdana menteri.

“Sudah tentu Tun ada sokongan… kita tidak dapat elakkan tapi dalam PPBM Johor mungkin tidak sampai 5% menyokong Tun,” katanya.

Beliau juga mengatakan Muhyiddin mempunyai pengaruh kuat selain menyandang jawatan sebagai perdana menteri.

Jumaat lalu, Mahathir mengumumkan penubuhan parti baru yang tidak terikat atau menyokong mana-mana gabungan sama ada Pakatan Harapan (PH) atau Perikatan Nasional (PN).